Tuesday, February 10, 2009

SMA 2008 : Bilangan Calon Cemerlang Meningkat

SHAH ALAM, 5 Februari - Keputusan peperiksaan Sijil Menengah Agama(SMA) tahun 2008 di negeri ini menunjukkan peningkatan dalam bilangan dan peratusan calon yang cemerlang.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Dato’ Mohammed Khusrin Munawi ketika mengumumkan keputusan itu berkata, pada tahun 2007, seramai 196 calon atau 9.6 peratus telah memperoleh keputusan cemerlang (mumtaz).

“Pada tahun 2008, bilangan dan peratusan calon cemerlang telah meningkat kepada 262 orang atau 10.7 peratus,” kata beliau kepada pemberita semasa mengumumkan keputusan SMA 2008 di Bilik Kuliah, Pusat Pembangunan Keluarga Islam, Jais,di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Penolong Pengarah Pendidikan Islam, Jais, Amir Danuri.

Menurut beliau, keputusan keseluruhan peperiksaan SMA juga menunjukkan peningkatan dari segi peratusan iaitu sebanyak 2.4 peratus.

“Peratusan tahun 2008 telah memperlihatkan peningkatan kepada 82.5 peratus berbanding tahun 2007 sebanyak 80.1 peratus,” katanya yang turut mengumumkan Sekolah Agama Menengah Bestari, USJ 5, Subang Jaya sebagai sekolah terbaik dari segi keseluruhan SMA di negeri ini.

Sementara itu, Aliyah Ahmad Bahari, dari Sekolah Agama Menengah Bestari, USJ 5, Subang Jaya dan Muhammad Ihsan Khalib Jaafar dari SAMT Hisamuddin Jalan Kota Raja Klang terpilih sebagai pelajar cemerlang bagi tahun 2008.- MURIZA ABDUL HAMID

Skim MUE






Skim Mesra Usia Emas diteruskan di DUN Batu Caves. Seramai 7 keluarga lagi menerima skim ini menjadikan setakat ini telah 22 keluarga warga emas yang meninggal dunia menikmati skim ini.

Program Kursus Kecemerlangan Pengurusan Inskeps






YB.Amirudin dijemput menjadi salah seorang ahli panel di kursus yang dinyatakan. Kursus di adakan di Ampang Pecah manakala peserta terdiri dari pelajar Unisel dan Kuis. Ini diadakan sebagai pendedahan kepada polisi dan agenda PR.

YB.Amirudin melawat NGO memberi makanan percuma kepada 100,000 penganut hindu sempena Thaipusam





YB. Amirudin di Perayaan Thaipusam






Sumbangan air percuma PR sempena Thaipusam. 50,000 gelas air dan 10,000 air mineral disumbangkan kepada penganut hindu. Anjuran Pejabat YB.Amirudin dan Pejabat YB.Dr. Xavier, Exco Negeri Selangor. Turut hadir YB.William Leong, YB.Manikavasagam dan YB. Elizabeth Wong. Buah-buahan juga turut disumbangkan.

Friday, February 6, 2009

Ahli Parlimen Gombak dilantik Ahli Lembaga Pengarah PKNS

Dua Exco dan Seorang Adun Anggotai Lembaga Pengarah PKNS
Wednesday, 04 February 2009 | Ruangan: Berita

SHAH ALAM, 4 Februari- Kerajaan negeri hari ini mengumumkan pelantikan tiga Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang baru.

Dato’ Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata dua ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang juga Ahli Parlimen Gombak dilantik untuk menerajui anak syarikat kerajaan negeri itu.

“Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) hari ini telah membuat keputusan untuk melantik Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok Suh Sim dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abd Samad dan Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali sebagai Ahli Lembaga Pengarah,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan MMKN di sini, petang tadi.

Menurutnya, kerajaan negeri yakin dan percaya pelantikan ketiga-tiga mereka dapat membantu membawa PKNS mencapai matlamat asal dalam memberi fokus kepada perniagaan pembangunan hartanah di samping meningkatkan pembangunan sosio-ekonomi masyarakat serta memacu PKNS ke tahap lebih tinggi.

Dalam perkembangan lain, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu menjemput semua warga Selangor untuk menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina peringkat negeri yang akan diadakan di kawasan lapang sebelah pusat membeli belah Sunway Pyramid, Sabtu ini.

Menurut Ronnie, pelbagai persembahan menarik disediakan sepanjang program itu berlangsung.

“Program ini bermula jam 5.00 petang dan akan berakhir pada jam 10.00 malam,” katanya.-MURIZA ABDUL HAMID

Wednesday, February 4, 2009

Selangor Mahu Lahirkan Tenaga Kerja Mahir Berpengetahuan

SHAH ALAM, 31 Januari - Selangor berhasrat melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir dan berpengetahuan yang dapat menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara.

Justeru, kerajaan negeri sudah mengorak langkah dengan memfokuskan usaha melahirkan modal insan yang berkemahiran, mampu berfikir serta bertindak lebih kreatif dan inovatif.

Demikian dinyatakan Dato’ Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam ucapannya pada Majlis Konvokesyen kali ke-13 Inpens International College (Inpens) hari ini.

Menurutnya, kewujudan pusat latihan kemahiran seperti Inpens yang dimiliki kerajaan negeri boleh mempercepat usaha mencapai hasrat berkenaan.

“Pusat-pusat pendidikan kemahiran seperti Inpens ini bukan sahaja mampu melahirkan pekerja mahir dan berpengetahuan, tetapi turut membantu mengatasi masalah keciciran pelajar dalam pendidikan,” katanya.

Seramai 458 graduan Inpens menerima diploma dan sijil masing-masing daripada Abdul Khalid pada majlis yang berlangsung di Dewan Auditorium Jubli Perak, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri pagi tadi.

Daripada jumlah itu seramai 87 orang menerima diploma dan sijil akademik sementara 371 lagi menerima sijil kemahiran.

Beberapa pelajar cemerlang dalam akademik dan ko-kurikulum turut mendapat penghargaan menerusi enam anugerah yang disediakan iaitu Anugerah Khas Menteri Besar, Anugerah Yayasan Selangor, Anugerah Setiausaha Kerajaan Selangor (SUK), Anugerah Cemerlang Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Anugerah Industri Automatif dan Anugerah Presiden.

Anugerah tertinggi pelajar iaitu Anugerah Khas Menteri Besar diterima graduan Diploma Mekatronik, Ridhwan Ishak dan pemegang Sijil Juruteknik Sistem Komputer, Zakri Zainal. - NOOR ALLIA KASSIM