Tuesday, February 10, 2009

SMA 2008 : Bilangan Calon Cemerlang Meningkat

SHAH ALAM, 5 Februari - Keputusan peperiksaan Sijil Menengah Agama(SMA) tahun 2008 di negeri ini menunjukkan peningkatan dalam bilangan dan peratusan calon yang cemerlang.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Dato’ Mohammed Khusrin Munawi ketika mengumumkan keputusan itu berkata, pada tahun 2007, seramai 196 calon atau 9.6 peratus telah memperoleh keputusan cemerlang (mumtaz).

“Pada tahun 2008, bilangan dan peratusan calon cemerlang telah meningkat kepada 262 orang atau 10.7 peratus,” kata beliau kepada pemberita semasa mengumumkan keputusan SMA 2008 di Bilik Kuliah, Pusat Pembangunan Keluarga Islam, Jais,di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Penolong Pengarah Pendidikan Islam, Jais, Amir Danuri.

Menurut beliau, keputusan keseluruhan peperiksaan SMA juga menunjukkan peningkatan dari segi peratusan iaitu sebanyak 2.4 peratus.

“Peratusan tahun 2008 telah memperlihatkan peningkatan kepada 82.5 peratus berbanding tahun 2007 sebanyak 80.1 peratus,” katanya yang turut mengumumkan Sekolah Agama Menengah Bestari, USJ 5, Subang Jaya sebagai sekolah terbaik dari segi keseluruhan SMA di negeri ini.

Sementara itu, Aliyah Ahmad Bahari, dari Sekolah Agama Menengah Bestari, USJ 5, Subang Jaya dan Muhammad Ihsan Khalib Jaafar dari SAMT Hisamuddin Jalan Kota Raja Klang terpilih sebagai pelajar cemerlang bagi tahun 2008.- MURIZA ABDUL HAMID

No comments: