Monday, June 23, 2008

100 Hari Yang Berlalu


Oleh: YB.Amirudin Shari

Maka 100 hari telah berlalu. Tidak pasti mengapa angka 100 hari ditilik dan di uar-uarkan sebagai detik penentu kepada sesuatu yang baru, di negeri kita, sudah pasti kerajaan baru kendalian pakatan rakyat seperti di Selangor dan negeri lain selain Kelantan menjadi perhatian dan cerapan. Entah apa akar pertimbangan yang diguna pakai untuk meletakkan 100 hari sebagai kayu ukur sejauh mana kejayaan pentadbiran kerajaan baru menterjemah prinsip dan dasarnya.

Kita anggaplah 100 hari itu telah jadi suatu kepercayaan yang betul. Dan mari kita membuka ruang perhatian, 100 hari ini bukan hanya untuk Selangor, Perak, Kedah dan Pulau Pinang sahaja kerana semua negeri sebenarnya turut patut menerima beban 100 hari. Pasti ada yang menelah kerajaan BN tidak perlu ditimbangkan rekod pencapaiannya kerana mereka terpilih atas kepercayaan rakyat dalam pilihanraya umum lepas atas rekod dan garis perjuangan pembangunan-binaan yang dipercayainya, justeru yang lama itu akan tetap berlangsung sebagaimana biasa dan tidak perlu dinilai. Ini salah. Apa alasan untuk membiarkan sesuatu yang lama dan usang seperti prinsip dan dasar BN berlangsung tanpa dinilai dan diperiksa. Membiarkan sesuatu yang lama tanpa diperiksa adalah bahaya kerana menerbitkan keselesaan (complacent) yang ternyata membuat ramai pihak sebelum ini terkalah dan tunduk akibat tidak mampu menyerap perubahan, apatah lagi politik yang sentiasa dinamik dan berubah-ubah.

8 Mac 2008, yang dilabel hari tsunami politik bagi BN telah menggiring BN kepada tempo politik yang selama ini di canangkan oleh Pakatan Rakyat. Kabinet baru pimpinan Abdulah Badawi, di label sebagai kabinet reformasi oleh beberapa media melambangkan adanya cubaan menghiasi pentadbiran penggal ke 12 Kerajaan Persekutuan memenuhi kehendak arus politik reformasi yang meletakkan garis mulia seperti kebebasan, keadilan, prihatin kepentingan rakyat, bersih dan telus. Menurut khabar arus perdana gincu dan bedak pewangi reformasi ini turut telah menarik Ezam dan 5-6 orang bekas anggota Parti Keadilan yang sebahagianya telah putar balik ke Umno sejak 2004 lagi untuk bersama pentadbiran Pak Lah.

Selanjutnya menjadikan Ezam menjadi askar prebet berani tempur baru Umno menghadapi arus perubahan yang melanda negara sejak 8 Mac lalu. Lebih spesifik menghadapi Anwar Ibrahim yang jelas lebih berwibawa dan bertenaga jika dibandingkan dengan Pak Lah mahupun Najib. Tidak memeranjatkan jika diurut serangan-serangan Ezam hanya bertumpu dalam soal merendah-merendahkan keupayaan Anwar Ibrahim tanpa membuka perdebatan prinsip perjuangan dan idea perjuangan. Memang beliau kerap menyebut prinsip perjuangan sebagai alasan menyertai Umno, namun ia tidak disertai dengan hujah dan sering terlontar dalam bentuk retorika yang memang sebati dengan penampilan beliau. Mampukah Ezam menjadi alat yang terbaik untuk melindunggi kelemahan Paklah dan ke bobrokkan prinsip perjuangan BN ? masih awal dan terlalu jauh lagi perjalanan yang perlu diulas panjang selepas ini.

Oleh itu, mari kita menelusuri 100 hari pentadbiran Pakatan yang tidak boleh lagi diasingkan dengan 100 hari pentadbiran BN. Semua pihak tidak dinafikan berusaha untuk membuktikan mereka berkualiti dan berwibawa. Pak Lah telah melepaskan sedikit tali cengkaman Badan Pencegah Rasuah (BPR) dengan pengumuman badan tersebut sebagai badan bebas dalam bentuk suruhanjaya. Namun sejarah Pak Lah memang sering menubuhkan suruhanjaya termasuh Suruhanjaya Penambahbaikan Polis yang masih terlalu banyak tidak dilaksanakan. Lagipun BPR masih lagi tidak bebas sepenuhnya dengan tidak lagi bertanggungjawab terus kepada Parlimen. Bagi negeri-negeri Pakatan pula telah menunjukkan usaha mengurangkan potensi rasuah dan penyelewengan dalam pentadbiran. Paling kurang 2 negeri Selangor dan Pulau Pinang telah mengumumkantiada kontrak yang dianugerah secara langsung dalam urusan kerajaan negeri. Hal ini telah membuka ruang pimpinan Umno untuk memutar-mutar penghapusan DEB untuk membakar sentimen perkauman.
Di negeri Selangor 100 hari pentadbiran Pakatan kita umumkan beberapa langkah yang pro rakyat seperti Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) dan 20 liter padu air percuma bagi rumah persendirian. Di peringkat pusat BN naikan minyak 78 sen bagi petrol dan 1 ringgit bagi diesel yang menyebabkan harga barang dan perkhidmatan melambung naik.

Apa lagi, yang hendak dipertahankan BN, usaha reformasi separuh jalan, beban rakyat terus menimbun. Prinsip apa lagi yang diperjuangkan oleh mereka sehingga menarik orang, selain fulus mungkin.

Hari Cakna Belia DUN Batu Caves mula menampakkan hasil

Hari Cakna Belia pada 7 Jun yang lalu,anjuran Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Caves YB.Amirudin Shari di bawah kelolaan Biro Belia dan Remaja telah mula menampakkan hasil apabila kumpulan pertama seramai hampir 90 yang telah mendaftarkan diri pada hari tersebut akan mula mengikuti Program Pembangunan Belia Negeri Selangor dan Jati Diri Belia . Kursus di bawah seliaan Yayasan Selangor ini akan mula dijalankan pada 1 - 3 Julai 2008 bertempat di Kem Bina Semangat Ampang Pecah, Hulu Selangor.

DUN Batu Caves merupakan kawasan Undangan Negeri yang ke dua selepas DUN Ijok yang telah diberi keutamaan mengadakan program untuk jatidiri belia di Negeri Selangor. Selaku Timbalan Exco Belia dan Sukan Negeri, YB.Amirudin sememangnya prihatin akan nasib belia khususnya di Negeri Selangor yang diabaikan oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini . Belia di bawah kerajaan BN hanya menjadi alat terutamanya sewaktu pilihanraya dengan menjadi Gerak Gempur pemuda UMNO.

Sesuai dengan peranan dan tanggungjawab beliau sebagai Naib Ketua Angkatan Muda ,Parti Keadilan Rakyat, YB.Amirudin melihat masalah belia lebih jauh dari hanya menjadi alat kepada UMNO/BN. Beliau ingin memantapkan jiwa dan akhlak belia ke satu tahap yang lebih cemerlang.

Majlis Ramah Mesra dan Dialog Bersama Penduduk Apartmen Sri Astana

Satu majlis Ramah mesra dan dialog dengan Persatuan Penduduk Sri Astana ,Batu Caves telah berjaya diadakan pada 22 Jun 2008. Majlis yang julung-julung kalinya diadakan bersama dengan persatuan Penduduk Sri Astana Batu Caves turut mendapat penyertaan dari OCPD Gombak Tuan Abd Rahim Abdullah.

Dalam ucapannya, YB.Amirudin mengucapkan tahniah kepada Penduduk-penduduk Sri Astana kerana berjaya mewujudkan Persatuan Penduduk yang dirasakan bukan sahaja dapat membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi, bahkan juga dapat mengeratkan hubungan sesama penghuni. Beliau mahu supaya lebih banyak persatuan-persatuan penduduk dapat di wujudkan di DUN Batu Caves dengan harapan masalah seperti sistem penyelenggaraan, kutipan sampah, bayaran bila air, jenayah, masalah sosial dan sebagainya dapat diatasi. Beliau mengalu-alukan pihak persatuan penduduk berhubung dengan pejabat ADUN jika terdapat sebarang kemusykilan. YB.Amirudin turut menyentuh mengenai perkembangan terkini politik semasa khususnya mengenai dasar-dasar baru kerajaan negeri.

Sementara itu dalam sesi dialog , beberapa persolan telah ditimbulkan seperti masalah lampu jalan, lampu trafik yang tidak berfungsi, laporan anjing liar yang mana berkait rapat dengan pihak PBT iaitu MPS. Turut ditanya ialah mengenai bekalan air percuma yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri di bawah Pakatan Rakyat. Yang menarik perhatian ialah bagaimana keluhan seorang kanak-kanak sekolah yang meminta supaya satu gelanggang Futsal dapat diadakan di Batu Caves. YB.Amirudin berjanji akan mengambil berat akan setiap permasalah yang dibangkitkan.

Turut menyertai dialog ialah Tuan OCPD Gombak, Tuan Abdul Rahim Abdullah

Piala YB.Amirudin Shari berlangsung meriah

Pertandingan bolasepak 9 sebelah tertutup DUN Batu Caves merebut piala YB.Amirudin Shari, ADUN Batu Caves berlangsung dengan meriah pada 22 Jun 2008. Pertandingan yang diadakan di Padang Bolasepak Kg Baru Batu Caves berjaya menarik penyertaan sebanyak 24 buah pasukan dan diadakan secara kalah mati.

Demam piala Eropah ternyata telah memberi nafas kepada perkembangan bolasepak di kawasan DUN Batu Caves dimana pertandingan ini telah menarik hampir 1,000 orang penonton yang terdiri dari pelbagai lapis masyarakat dan kaum. Apa yang lebih menarik ialah pertandingan ini menawarkan hadiah berupa wang tunai dan beberapa hadiah sampingan berjumlah RM10,000. Juara menerima hadiah wang tunai RM2,500, piala pusingan , piala iringan, tiket bolasepak Piala Malaysia dan baju T.

YB.Amirudin sendiri telah hadir sejak pagi lagi memberi sokongan dan menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang . Didalam perlawanan akhir, pasukan Dream Team dari Taman Selayang telah berjaya menewaskan pasukan Pari Team dari Batu Caves dengan jaringan 2-0. Turut hadir ialah Ketua Kampung Kg Baru Batu Caves, Haji Adnan Mohd Yatim, Pengarah DUN Batu Caves , Shaharudin Hj Abu Bakar, Wakil Peribadi YB.Azmin Ali, Sdr Razali Ramli, Ketua Angkatan Muda KeAdilan Gombak, Sdr.Jaffrien Mohamed dan bekas pemain pasukan Piala Malaysia Selangor Sdr.Rizal Hasan.

Didalam ucapannya YB.Amirudin menyarankan agar pertandingan seperti ini dapat disuburkan dan menggalakkan lebih banyak penyertaan dari pasukan-pasukan khususnya di DUN Batu Caves. Beliau amat berpuashati dengan penganjuran pertandingan ini dan berharap agar dengan adanya pertandingan seperti ini akan dapat melahirkan ramai bakat-bakat baru di DUN Batu Caves

Sementara itu, Pengerusi Biro Sukan dan Rekreasi DUN Batu Caves, Sdr Yahya Hamid menegaskan bahawa pertandingan ini akan diadakan setiap tahun dengan harapan pada tahun hadapan penyertaan akan bertambah kepada 32 buah pasukan.

Diucapkan tahniah kepada Biro Sukan dan Rekreasi DUN Batu Caves atas penganjuran yang julung-julung kalinya diadakan di DUN Batu Caves dan berlangsung dengan meriah..

Friday, June 20, 2008

Ucapan YB.Amirudin Shari di DUN Selangor membahas usul Kg Tunku-Kebebasan itu Fitrah Manusia

Tuan Speaker, Ahli Dewan Yang dikasihi

Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada ahli dari Kampung Tunku atas cadangan usul bahawa dewan ini mengkritik penahanan ahli dari Kota Alam Shah dan lain-lain di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri, serta menyeru Kementerian Dalam Negeri membebaskan para tahanan.

Sudah lama kita di Malaysia tidak mengungkapkan satu kata. Satu kata yang samada sudah lama hilang dari bumi bertuah ini, atau kita dengan sengaja tidak mahu mengatakannya. Semenjak dari kemerdekaan, kita berhadapan dengan satu kerajaan yang mempunyai satu cita-cita besar dan angkuh. Cita-cita untuk menyeragamkan bentuk abstrak dari setiap rakyatnya.

Apa yang dimaksudkan dengan betuk abstrak dari rakyatnya? Yang dimaksudkan oleh saya ialah setiap tingkah, setiap perilaku, setiap cita-cita dan aspirasi dari setiap seorang rakyat yang berteduh di sebuah negara yang bernama Malaysia. Pemerintah Perikatan yang kemudiannya dikenal sebagai Kerajaan barisan Nasional ini berniat untuk mengawal akal budi rupanya. Ini kerana dari situ terbit keyakinan untuk mahu kepada kebebasan.

Akan tetapi ini merupakan angan-angan mereka sahaja.


Tuan Speaker dan ahli-ahli Yang Berhormat,


Satu kata yang namanya Kebebasan sesungguhnya ada padanya ruh dan jiwa tersendiri. Jadi jangan kita hairan kerana biar pun hilang sudah lama, ia pasti akan datang menjelma kembali. Ia bernyawa untuk memanggil sesiapa yang mahu kepadanya. Kebebasan menggamit-gamit kita kepadanya. Kerana kita dan kebebasan itu adalah satu.

Manusia itu fitrahnya mahu kepada kebebasan. Bila dibelenggu, resah keras makhluk yang bernama manusia ini. Bila dibungkam, teriak mengganas ia dan bila dipenjara, yang dicita hanyalah kebebasan. Kita tidak mahu terpenjara, sudah tentu tidak mahu sunyi ketika siang apatah lagi merasa malam memanjang tidak kunjung habis.

Akta Keselamatan Dalam Negeri atau lebih dikenali sebagai ISA ini merupakan undang-undang warisan dari kolonial yang bertujuan untuk membanteras gerakan komunis. Kemudiannya pada tahun 1960 Kerajaan Malaysia di bawah naungan Perikatan yang kemudiannya dikenal sebagai Barisan Nasional, mengambil bentuk yang ada dari Ordinan Darurat 1948 itu untuk dijelmakan kembali menjadi hantu seram yang tidak pernah gagal di dalam meragut kebebasan sekian ramai rakyat di negara ini.

Sesungguhnya Akta Keselamatan Dalam Negeri ini adalah musuh nombor wahid untuk rakyat di Malaysia. Ia adalah musuh yang nyata akan kebebasan. Justeru ISA adalah musuh kepada insan semuanya.

Tuan Speaker,

Saya yakin untuk mengatakan ISA adalah musuh kepada setiap rakyat di negara ini, kerana saya yakin akan karamah insaniah. Saya yakin akan setiap diri manusia itu ada fitrahnya. Yang mengangkatnya untuk memenuhi segala potensi kemanusiannya. Menjadi manusia yang bertindak adil dan saksama.

Bukankah di dalam Al-Quran yang mulia itu menegaskan peranan kita sebagai Khalifatullah Fil Ard, sebagai wakil Tuhan, bila saja kita menyebut sebagai wakil Tuhan bukan lah bermaksud berjalan di muka bumi ini dengan kesombongan dan keangkuhan, akan tetapi sebagai wakil yang sedar, dengan rendah diri kemampuannya apatah lagi akan fitrahnya.

Apa yang saya bawa ini bukannya sahaja terkandung di dalam tradisi agama Islam sahaja, malah ia diungkapkan juga oleh filasuf zaman Renaisan. Karamah Insaniah yang dikenal pada kurun ke 15 di Kota Florence, dengan izin Tuan Speaker, sebagai Dignity of Man.

Maka marilah kita menghimbau ke belakang kurang lebih 500 tahun yang lampau untuk merenung kandungan orasi terkenal yang disampaikan oleh Giovanni Pico dari Mirandola itu. Jika ada lah apa yang dikenal sebagai manifesto zaman Renaisan itu, maka orasi inilah manifesto tersebut.

Pico dalam orasi tersebut pada ayatnya yang pertama, “Aku pernah terbaca bahawa Abdullah si Muslim, bila ditanya apakah selayaknya untuk dikagumi dan ditakjubi di atas pentas semesta ini, dia pun menjawab, “tiada yang lebih layak untuk ditakjubi selain dari manusia.”

Kita lihat betapa seribu tahun yang lampau Islam sudah pun menegaskan peranan dan status manusia yang bebas kerana itu adalah fitrahnya. Dengan tidak menidakkan fitrahnya, maka kita kembali meletakkan manusia itu ditempat yang selayaknya. Pengerian fitrah yang saya rasa sangat baik untuk kita renungkan, yang saya kutip juga dari orasi tersebut, dengan izin, To you is granted the power of degrading yourself into the lower forms of life, the beasts, and to you is granted the power, contained in your intellect and judgment, to be reborn into the higher forms, the divine.”

Dua tradisi yang menjadi pelantar kepada tamadun dunia, pelantar kepada tamadun Eropah dan Islam mengaku akan tempat manusia dan fitrahnya, dan kita di Malaysia, sudah tentu maksud saya yang di sebelah pemerintah Barisan Nasional cuba untuk menidakkannya. Betapa lucu kenyataan ini.


Tuan Speaker,

Kegagalan pihak pemerintah Barisan Nasional untuk membuat pertimbangan akan peri pentingnya manusia dan kebebasan sebagai fitrahnya membuatkan mereka tenggelam dengan kerakusan kuasa mereka. Diberi kesempatan yang lama untuk memerintah, kita melihat kerajaan barisan nasional menggunakan segalanya, apa sahaja yang ada untuk memanjangkan tangan-tangan mereka ke dalam ruang yang tidak sepatutnya. Kerajaan ini gagal untuk menunjukkan kekuatan moral yang tinggi, ia tidak mampu untuk bergantung kepada kelebihan dan keutamaan kebaikan, kerana ia tidak mendakap de seperti yang ditegaskan oleh Confucius di dalam Lunyu (Bab 2 ayat 1), “memerintah dengan kebaikan, umpama bintang utara bersemayam di tempatnya, di mana segala bintang mengelilinginya dengan penuh takzim.”

Tangan-tangan kerajaan yang paling ampuh sudah tentunya undang-undang. Dan seperti yang kita tahu antara tangan yang paling zalim dan kejam ialah penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960, yang membolehkan seseorang itu ditahan tanpa bicara. Sudah tentu ruang yang dimaksudkan oleh saya tadi, yang menjadi subjek bagi tangan-tangan kotor kerajaan itu, adalah ruang kebebasan setiap rakyat negara ini. Ruang untuk berbicara, untuk berekspresi dan ruang kepada sebuah kehidupan, yang mana telah dinafikan oleh kerajaan pusat ke atas rakan saya, ahli dari Kota Alam Shah.

Sesungguhnya manusia itu dilahirkan bebas. Dan sesungguhnya saya percaya setiap manusia adalah hasil ciptaan Tuhan. Kerana kita hanya tertakluk kepada Tuhan yang mulia, oleh itu kita bebas dari sesama kita sendiri, kerana di antara saya dan saudara dan di antara saya dengan menteri dalam negeri, kita semuanya sama dan setara.

Makanya kebebasan datang bersama dengan lahirnya kita ke dunia ini. Kebebasan menjamin kita agar tidak menzalimi diri kita sendiri sebagaimana yang dimaksudkan oleh Al-Quran; zulm al nafs, ingatlah ayat yang berbunyi, “ Kami tidak membuat zalim kepada mereka[ dengan memusnahkan mereka] tetapi sebaliknya merekalah yang menzalimi diri mereka sendiri” seperti maksud akan ayat 231 surah al baqarah dan surah al talaq ayat 1.

Tuan Speaker,

Apakah sebenarnya peranan sebuah kerajaan? Bagi saya dan ramai rakan-rakan saya bersetuju, sesungguhnya peranan kerajaan yang paling utama adalah untuk melindungi nyawa, kebebasan dan harta benda setiap rakyatnya.

Penggunaan ISA, jelas umpama satu virus yang memakan tiang seri perjalanan asas sebuah perjalanan yang saksama dan adil. Ia menyebabkan sebuah kerajaan mereput, lalu luluh dalam labirin kezaliman.

Izinkan saya memberi contoh sejarah buat pengajaran kita semua. Bagaimana sebuah kerajaan penindas di Eropah, rebah dengan kebangkitan rakyat yang dikenal sebagai glorious revolution, dengan izin. Kebangkitan yang korbannya minimal, ketimbang satu lagi revolusi di Perancis sangat bermakna untuk kita renungi. Kita harus bertanya, apa sebenarnya yang mendasari kebangkitan ini di Britain pada abad ke-17.

Sedar, faham, rendah diri, dan juga berani menyampaikan makna kebebasan kepada semua rakyat di Britain adalah ciri utama kebangkitan tersebut. John Locke dengan risalahnya yang berjudul, Two Treatises on Government, berjaya membuka mata masyarakat, akan persoalan apakah sebenarnya peranan sebuah kerajaan. Dia menunjukkan betapa kebebasan adalah milik semua, dan peranan kerajaan adalah untuk melindunginya.

Tuan Speaker,

“Tidak ada kebebasan tanpa kedaulatan undang-undang,” dan nampaknya di negara kita ini, kedua-duanya sudah tidak ada. Kedua-duanya harus berjalan seiring dan tidak boleh terpisah. Kita sering keliru akan makna sebenar kedaulatan undang-undang. Kita harus menggenggam erat maksud dari maksim Latin ini, “Lex injusta non est lex,” undang undang yang tidak adil makanya ia bukannya undang-undang. Maka nya kita semua ahli dewan yang mulia wajib bertanya pada diri kita sendiri, apa adilkah undang-undang yang bernama ISA ini?

Ramai dari rakan saya di seberang sana pernah terikut-ikut dan meneriakkan Konsepsi Nilai Asia yang dibawa oleh bekas PM Tun Dr Mahathir. Kununnya apa sahaja yang datang dari barat semuanya tidak betul, kununnya semuanya adalah usaha barat untuk menjajah kembali. Dari demokrasi dan kedaulatan undang-undang semuanya diremehkan.

Bila sahaja kita menekankan perihal keutamaan kebebasan, maka akan ada orang yang bingkas bangun dan melenting betapa saya kununnya pro Barat. Apa yang pro Barat nya jika yang saya ingin pertahankan ialah tidak ada tahanan tanpa bicara, tidak akan ada orang yang bersalah sehinggalah dia dibuktikan bersalah dan sebuah institusi kehakiman yang bebas dan berani lagi amanah.

Sedangkan sebenarnya ia adalah usaha pemerintah BN untuk mengelabui mata rakyat akan tindakan mereka yang ingin terus rakus berkuasa dan menidakkan suara-suara berani yang mencabar mereka. Mereka berselindung di sebalik slogan anti Barat, mereka memainkan sentimen nasionalisme agar rakyat terus menyokong mereka. Mereka ingat rakyat mudah dipermainkan. Tidak, tidak semudah itu. 8hb Mac rakyat menghukum mereka.

Rakyat jelek melihat suara ketidaksetujuan diperlekehkan. Rakyat jelek melihat institusi kehakiman dimanipulasikan dan rakyat jelek melihat ketidakadilan di mana-mana. Penangkapan rakan saya dari Kota Alam Shah dengan menggunakan ISA jelas mengesahkan pendapat saya ini. Jika benar ada bukti yang mencukupi, dakwa dia di mahkamah, pastikan hakim yang mengadili benar-benar bebas. Hentikan tahanan tanpa bicara ini!

Apa semua ini sangat asing dari tradisi kita? Adakah tradisi ketimuran dan islam itu tidak mempedulikan semua ini? Lupakah kita betapa rakusnya pengadilan yang dibuat puak Kurawa terhadap nasib saudara mereka dari Pandawa? Mahabarata menjadi satu bukti kepada kita bahawa konsep keadilan dan hakim yang adil bukanlah sesuatu yang asing. Biar lah sidang dewan hari ini menjadi medan kurusetre agar keadilan dan kebenaran tertegak.

Tuan Speaker,

ISA memberikan kuasa kepada individu bernama menteri untuk mencabut kebebasan seseorang, dan tempoh pencabulan kebebasan ini boleh pula dipanjang-panjangkan, tanpa perlu melalui proses pendakwaan dan pengadilan di mahkamah.

Bagi mereka yang mempercayai al-Quran menyebut, “jika kamu mengadili, maka hakimilah dengan adil.”

Dalam Islam sendiri, pengadilan itu sesuatu yang penting dalam pelaksanaan hukuman.

Sekiranya kita menolak pengadilan, maka seolah-olah kita cuba meletakkan diri lebih tinggi daripada Allah, dan sia-sialah kita memulakan sidang dengan membaca doa, kerana sesungguhnya Tuhan sendiri tidak akan memalingkan wajahnya ke dewan yang mulia ini.

Tuan Speaker,

Minggu lalu, dewan ini dimaklumkan bahawa ahli dari Kota Alam Shah telah pun mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Negeri, dan seperti yang termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri, Yang Berhormat Kota Alam Shah telah bersumpah memelihara, melindungi dan mempertahankan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor.

Inilah sumpah keramat yang paling mulia di negeri ini. Apa mungkin orang yang telah mengangkat sumpah sebegini, boleh menjadi ancaman kepada keselamatan dan ketenteraman kita ?

Adalah sesuatu yang memalukan buat dewan yang mulia ini, apabila seseorang yang telah berikrar dan taat setia untuk menabur bakti kepada negeri yang kita cintai ini terhalang daripada melaksanakan sumpahnya, hanya kerana jasadnya telah dikurung oleh rejim yang takut kepada seruan kebebasan.

Saya bimbang, rakyat biasa yang tidak terlibat dalam pembuatan undang-undang seperti ahli Kota Alam Shah akan berasa mereka terancam, kerana penahanan berterusan Yang Berhormat Manoharan, menunjukkan bahawa sumpah taat setia kepada negeri ini seolah-olah tidak cukup untuk menghalang rejim yang zalim daripada terus mencabuli kebebasan warganya.

Tuan Speaker,

Biarlah saya mengisytiharkan di dewan yang mulia ini, bahawa gesaan untuk pembebasan para tahanan ISA adalah satu mesej yang jelas kepada seluruh rakyat negeri Selangor, bahawa kami di sini memahami akan rindunya warga terhadap kebebasan.

Biarlah harapan dan aspirasi kebebasan ini mengalir deras dari Hulu hingga ke Kuala Selangor; tidak akan ada banjaran yang dapat melenyapkan seruan kebebasan ini; di sepanjang tebing Sungai Gombak dan Sungai Klang, tidak akan ada ceruk yang terlindung daripada sinar kebebasan.

Tuan Speaker,

Saya mohon menyokong.

Piala YB.Amirudin Shari

Satu pertandingan bolasepak 9 sebelah Tertutup DUN Batu Caves, Piala YB.Amirudin Shari, ADUN Batu Caves akan berlangsung pada :-

Tarikh : 22 Jun 2008
Masa : 8 pagi - 6 ptg
Tempat : Padang Bolasepak Kg Baru Batu Caves

Semua di jemput hadir,