Monday, December 28, 2009

YB.Amirudin dalam TV Astro Malam ini

YB.Amirudin Shari akan muncul di Astro Awani jam 8.15 pm malam ini, 29 Disember 2009. YB. akan berbicara tentang imbasan pilihanraya-pilihanraya kecil dan persiapan PRU 13. Jangan lepas peluang ikuti minda pemimpin muda ini.

Thursday, December 24, 2009

Majlis Penyerahan Kunci Rumah & Plak Kerajaan Prihatin DUN Batu Caves












Seramai 5 buah keluarga menerima bantuan perumahan di bawah Program Rumah Kerajaan Prihatin Negeri Selangor . Rumah yang bernilai RM30,000 setiap sebuah dibina dengan bantuan anak syarikat kerajaan Selangor . YB.Amirudin meluangkan masa dalam program tersebut.










Friday, December 11, 2009

Biro Tatanegara...Gunalah Wang UMNO-BN

Lim Hong Siang Dec 10, 2009 07:25:12 pm


Kerajaan UMNO-Barisan Nasional diselar kerana membiayai perbelanjaan Biro Tatanegara (BTN) yang beroperasi untuk menjaga kepentingan parti politiknya dengan menggunakan wang rakyat. Demikianlah kritikan yang dilontarkan oleh pemimpin Pakatan Rakyat dalam satu forum yang dianjurkan, kelmarin.

"BTN ini untuk kursus untuk rakyat Malaysia, bukan kursus untuk ahli UMNO. Kalau kursus ini untuk ahli UMNO, saya tak kisah pun. Kalau dia kursus untuk ahli UMNO, dia kata orang Cina beginilah, begitulah... macam perhimpunan dia, saya tak kisahlah, dia punya parti," kata Suhaizan bin Kaiat.


Wang rakyat untuk kepentingan parti


Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS (gambar kanan) ini kemudian menyambung, "tapi masalahnya, dia gunakan peruntukan sebanyak RM550 juta dalam tempoh 10 tahun dari tahun 2000 hingga 2009, tetapi dia digunakan untuk mendoktrinisasi atas kepentingan parti politik tertentu, itu masalahnya."

Pendirian ini dikongsi bersama oleh dua orang ahli panel yang lain, iaitu Amirudin Shari selaku ADUN Batu Caves merangkap Pembantu EXCO kepada Menteri Besar Selangor, dan Johari bin Abdul selaku ahli parlimen Sungai Petani, Kedah.

Monday, December 7, 2009

Forum BTN-Ayuh hadir beramai-ramai

Forum: “Adakah Biro Tatanegara Relevan Untuk Perpaduan Negara?”

Date: 8 Disember 2009 (Selasa)

Time: 8.00PM – 10.30PM

Venue: Auditorium, Kuala Lumpur & Selangor Chinese Assembly Hall

Jalan Maharajarela, dekat dengan Stesyen Monorail Maharajarela



Panelis:

YB Johari Abdul

Ahli Parlimen Sungai Petani serta bekas pelatih Biro Tatanegara


YB Amir Shari

ADUN Batu Caves merangkap Pembantu EXCO kepada Menteri Besar Selangor


Saudara Suhaizan bin Kaiat

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS

Tuesday, December 1, 2009

S'gor lantik 42 ketua komuniti India


Dari Malaysiakini
Dis 2, 09 12:36pm

Satu sesi temuduga telah dijalankan di bangunan pentadbiran kerajaan negeri (SUK) untuk memilih ketua komuniti kaum India bagi 42 kampung dan kawasan perumahan yang ramai masyarakat India di seluruh Selangor.

Ini adalah langkah julung kali kerajaan Pakatan Rakyat melantik ketua komuniti yang mewakili masyarakat India sebagai sebahagian dari struktur pentadbiran di negeri Selangor.

Sesi temuduga tersebut dijalankan pada semalam dan kelmarin yang dihadiri oleh 90 orang calon, demikian menurut kenyataan sekretariat akhbar kerajaan negeri hari ini.

Mereka ditemuduga oleh panel pemilihan yang diketuai exco kerajaan negeri Yaakub Sapari dan Dr Xavier Jayakumar serta pembantu exco yang juga ADUN Sri Muda, Suhaimi Shafie.

Mereka dibantu oleh ketua penolong pegawai daerah serta penghulu mukim daerah masing-masing serta pegawai seksyen pihak berkuasa tempatan, Upen.

Antara lain matlamat perlantikan ini adalah untuk membolehkan kerajaan negeri menyampaikan maklumat kepada masyarakat India akar umbi melalui ketua-ketua komuniti yang akan dilantik nanti.

Monday, November 30, 2009

Keputusan Saman Anwar Lwn NSTP : Hentikan fitnah Agen Yahudi & Amerika


Kenyataan Media
30 November 2009

Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyambu baik keputusan hakim mahkamah pada 25 November lalu, mengarahkan NSTP membayar 100 ribu gantirugi dan 20 ribu kos kepada Dato` Seri Anwar Ibrahim atas artikel mereka yang menuduh Anwar ada hubungan dengan agen dan pelobi Yahudi di Amerika.

Keputusan ini membuktikan dakwaan dan tohmahan yang kerap kali digunakan oleh pimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN) adalah fitnah dan tidak mempunyai asas yang kukuh.

Setiap kali pilihanraya kecil ataupun pilihanraya umum bahan kempen gelap dan propaganda dipercayai milik Umno-BN sering menggunakan elelmen kononnya Anwar dan Parti Keadilan Rakyat mempunyai hubungan rapat dengan agen Yahudi dan Amerika ditaburkan dikhalayak umum.

Kami juga dimaklumkan bahan propaganda ini digunakan oleh Biro Tata Negara (BTN) untuk meracuni pemikiran peserta kursus mereka.

Oleh itu kami menggesa setiap pihak menghormati keputusan mahkamah dengan menghentikan fitnah dan tohmahan palsu tersebut termasuk tuduhan Anwar menyimpan 3 billion yang mana dapat dibersihkan melalui kenyataan saksi bekas pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR sekarang SPRM) dalam prosiding kes terbabit yang menyebutkan siasatan BPR menunjukkan tuduhan tersebut tidak betul.

Kami juga menggesa pihak yang lantang menuduh Anwar khususnya Khairi Jamaludin, Ketua Pemuda Umno meminta maaf secara terbuka atas kenyataannya sebelum ini.

Kami juga ingin mencabar Tun Dr Mahahthir agar membersihkan dakwaan terhadap dirinya yang menggunakan jutaan ringgit Malaysia menggunakan Jack Abrahamov seorang pelobi Yahudi Amerika sewaktu ingin bertemu Presiden Bush dengan menafikan dan menyaman pihak media luar yang mengetengahkan hal terbabit.

Amirudin Shari
Naib Ketua Amk
MPP

Monday, November 23, 2009

Tahniah Skuad Batu Caves




Tahniah pasukan skuad batu caves kerana memenangi tempat ke 2 Program Jejak Amal anjuran Pekawanis di Shah alam sabtu 21hb november lalu. Mereka memenangi hadiah wang tunai RM1,600 dan beberapa pakej pelancongan. Pasukan yang dibentuk oleh pihak DUN walaupun dalam saat-saat akhir,berjaya juga menunjukkan komitmen mereka. tahniah.

Penyerahan SMUE Fasa ke 2 Parlimen Gombak













Seramai 44 waris menerima sumbangan SMUE Fasa ke 2 peringkat parlimen Gombak merangkumi 3 Dun iaitu Batu caves, Hulu Klang dan Gombak Setia. YB.Amirudin menyampaikan sumbangan tersebut. Hadir sama Encik Kamsani, iaitu Ketua Pegawai Operasi Rantaian Mesra Sdn.Bhd. dan Penghulu Mukim Batu, Zamani Karulani. majlis diadakan di Balai Penghulu Mukim Batu pada 21 november yang lalu.

Wednesday, November 18, 2009

Futsal Gen-S Jelajah Selangor Peringkat MPS




Dalam kesibukan menghadiri Konvensyen PKR Selangor, YB.Amirudin sempat meluangkan masa menjenguk Futsal Gen-S Jelajah Selangor peringkat MPS di Sport Planets Sungai Buloh 8 November lalu. Sempat juga menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Tuesday, November 17, 2009

Selangor digesa boikot program BTN


Oleh Salhan K Ahmad

Selangor digesa supaya berhenti menghantar mahasiswa di pusat pengajian tinggi milik kerajaan negeri ke program anjuran Biro Tata Negara (BTN) kerana ia didakwa menyemai sentimen perkauman di kalangan pelajar.

Sekumpulan ADUN muda Pakatan Rakyat Selangor menggesa pemulauan program agensi bawah Jabatan Perdana Menteri itu melalui satu surat kepada Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

ADUN Batu Caves, Amirudin Shari berkata bantahan itu dibuat memandangkan sebahagian pengisian program berkenaan didapati tidak berkaitan dengan usaha pemupukan nilai-nilai kenegaraan atau penyebaran ilmu.

“Sebaliknya ia merupakan program politik kepartian Umno-BN dan perkauman semata-mata,” kata wakil rakyat PKR itu sebagai jurucakap kumpulan ADUN tersebut kepada media selepas persidangan DUN hari ini.

Wakil-wakil yang turut hadir pada sidang media itu, Lau Weng San (DAP-Kampung Tunku), Nik Nazmi Nik Ahmad (PKR-Seri Setia), Jenice Lee Yin Ha (DAP-Teratai), Hannah Yeoh Tseow Suan (DAP-Subang Jaya) dan Gan Pei Ni (PKR-Rawang).

“Justeru kita berpandangan kerajaan negeri perlu bertindak untuk mengarahkan jemaah (senat) universiti untuk menghalang pelajar daripada menghadiri program BTN,” kata Amirudin, yang juga naib ketua Angkatan Muda PKR, lagi.

Pusat pengajian tinggi yang dimiliki kerajaan Selangor termasuk Universiti Industri Selangor (Unisel), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dan Kolej Inpens.

Amirudin juga memberikan alasan bahawa Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) juga tidak mewajibkan pelajar menghadiri program anjuran biro berkenaan.

“Tapi sepanjang pengalaman saya di universiti dan saya percaya perkara ini turut dipropagandakan kepada para pelajar, mereka perlu hadir program BTN.

“Jika tidak, mereka tidak akan lulus. (Dakwaan) ini sesuatu penipuan,” tambahnya ketika membacaknya kenyataan bersama mereka.

“Peserta kursus didoktrinkan dengan propaganda tentang ketuanan Melayu dan ancaman (negara) luar dan tidak diberikan ruang untuk mencabar propaganda tersebut memandangkan programnya berjalan secara satu hala sahaja.”

Seorang lagi wakil rakyat PKR Nik Nazmi Nik Ahmad pula berkata, sebagai seorang pelajar tajaan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC), beliau sendiri – yang pernah mengikuti program BTN – mendapati ia tidak sepatutnya wujud apabila kerajaan sedang bercakap tentang 1Malaysia.

“Sepanjang program tersebut, apa yang ditekankan adalah (parti) Keadilan ini, Anwar adalah ejen Yahudi, DAP adalah parti ejen Singapura dan PAS adalah parti ajaran sesat,” katanya.

“Itu saja yang disertakan dalam modul mereka yang bersifat politik kepartian yang sepatutnya tidak wujud sebagai satu program bawah JPM.”

Tambahnya, peserta juga “dimomokkan” tentang tentang “ancaman orang Cina” dalam program yang disertainya itu.

“Ada beberapa mahasiswa (berbangsa) Cina yang hadir (dalam program tersebut).

“Saya boleh bayangkan betapa mereka rasakan diri mereka begitu takut dalam situasi tersebut kerana modulnya sendiri bersifat perkauman,” katanya.

Transperancy puji Selangor, Indeks Malaysia terus merudum


KUALA LUMPUR, 18 Nov: Walaupun para pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) silih berganti membuat siasatan ke atas pemimpin kerajaan Selangor, Transparency International Malaysia(TI-M) memuji negeri Pakatan Rakyat itu bahkan wajar dijadikan contoh.

Presiden TI-M, Datuk Paul Low berkata sikap kepimpinan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dalam memacu Selangor jelas menunjukkan kerajaan negeri ini merupakan kerajaan yang adil dan telus mencakupi semua aspek.

Katanya, peranan Khalid dalam menangani rasuah di Selangor merupakan satu perkembangan positif dalam arena politik negara.

“Saya yakin MB Selangor mempunyai kehendak politik yang kuat untuk memerangi rasuah sebagaimana yang ditunjukkannya di Selangor," kata Paul dalam satu sidang media selepas mengumumkan Indeks Persepsi Rasuah 2009,di Kelab Golf Di Raja Selangor.

Beliau menambah, pentadbiran terbuka yang diamalkan Selangor dan perkembangan yang berlaku di negeri ini harus menjadi contoh kepada semua tanpa mengira fahaman politik supaya negara bebas dari rasuah.

Katanya, pentadbiran telus yang diamalkan Selangor bukan sahaja penting bagi aspek intergriti tetapi dalam menjaga kestabilan ekonomi negara.


Indeks Malaysia menjunam

Dalam sidang media yang sama, TI-M memaklumkan, indeks persepsi rasuah Malaysia yang dipimpin Datuk Seri Najib razak terus menjunam.

Malaysia menduduki tangga ke 56 daripada 180 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dunia 2009.

Malaysia mencatatkan penurunan dalam indeks persepsi rasuah pada tahun ini dengan hanya memperoleh 4.5 mata berbanding 5.1 mata pada 2008.

Kemerosotan berkenaan jelas menunjukkan kegagalan negara memerangi rasuah walapun pelbagai janji dibuat pihak berkuasa untuk menanganinya.

Menurut Presiden TIM,Paul Low, banyak faktor yang menyumbang kepada berlakunya kemerosotan negara memerangi rasuah.

Namun, beliau menekankan pencegahan amalan rasuah haruslah bermula dari pemimpin dengan nilai intergriti yang tinggi untuk membanterasnya.

“Jika anda mempunyai pemimpin yang tidak memberikan tauladan yang baik unjtuk diikuti, anda tidak boleh harap golongan muda kita mengikut apa yang baik kerana mereka hanya mengikut apa yang pemimpin buat.

"Di Malaysia, ia bukan isu mempunyai negara yang demokratik atau pilihan raya. Kita ada tetapi dalam masa yang sama kita dengan banyak tentang lompat parti dan isu berkaitan dengannya, ada yang dibayar. Jadi ia bukan soal demokrasi tetapi soal kehendak politik," katanya.

Dalam laporan berkenaan, New Zealand berada di kedudukan pertama negara yang kurang kegiatan rasuah dengan catatan tertinggi 9.4 mata, manakala Somalia berada di kedudukan terakhir kerana mencatatkan amalan rasuah tertinggi dengan catatan CPI 1.1 mata.

Perbandingan antara negara Asean menunjukkan Malaysia berada di tempat ketiga selepas Singapura dengan catatan 9.4 mata dan Brunei dengan CPI 5.5 mata, manakala Indonesia di tempat keempat.

Walaubagaimanapun, Indonesia mencatatkan kenaikan,apabila mencatatkan CPI 2.8 berbanding 2.6 tahun lalu.

Monday, November 16, 2009

S'gor rugi RM136.4 juta di Bukit Botak




Salhan K Ahmad
Nov 16, 09
6:44pm

Selangor dijangka menanggung kerugian lagi RM136.4 juta jika projek penempatan semula setinggan di Selayang - yang bermasalah sejak 1986 - diteruskan, kata menteri besar hari ini.

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mendedahkan maklumat sulit itu dalam siri ketiga pembongkaran kegagalan pentadbiran BN sejak pendedahan pertama Rabu lepas.

Jumaat lalu, beliau menyalahkan bekas menteri besar Datuk Seri Dr Mohamed Khir Toyo atas kegagalan negeri itu meraih hasil RM800 juta dalam projek penghutanan semula di Hulu Langat.

Dalam siri pertama, kerajaan Pakatan membocorkan dokumen memperincikan perpindahan hak milik tanah rakyat di Shah Alam yang menyebabkan 383 penduduk miskin kehilangan tanah mereka.

Satu risalah yang dikeluarkan oleh pejabat menteri besar menyatakan, projek di Bukit Botak itu melibatkan sembilan kampung setinggan di atas tanah seluas 202 hektar untuk menempatkan 2,300 keluarga.

Unit rumah mereka di kawasan yang kini dikenali Taman Selayang Utama bagaimanapun masih gagal disiapkan sepenuhnya.

Risalah-risalah didedahkan dengan kuasa menteri besar itu seperti diperuntukkan bawah Seksyen 2(C) Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Bagaimanapun, risalah itu tidak memberikan keseluruhan maklumat berkaitan kegagalan projek berkenaan.

Maklumat yang masih kabur, seperti yang dinyatakan dalam risalah berkenaan, antaranya penglibataan dan pemilihan pemaju Delpuri Corporation Sdn Bhd (DCSB), serta pemberian tanah kepada penduduk yang tidak berhak.

"Ketiga, mengapakah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) diarahkan menjalankan pembangunan walaupun kerajaan negeri pada masa itu maklum bahawa ia akan menyebabkan kerugian yang besar kepada perbadanan itu,” risalah itu dipetik.

Ia turut menyatakan, projek yang terbengkalai tiga kali ini dimulakan pada 1986 dan kemudiannya berpindah tangan daripada dua pemaju sehinggalah diambil alih oleh PKNS.

Pada awalnya sebanyak RM17 juta dikhaskan sebagai peruntukan pendahuluan untuk projek berkenaan, manakala syarikat Shah Alam Properties dilantik sebagai pengurus pembangunannya.

"Perancangan penyusunan dan penempatan semula setinggan Bukit Botak ini bermula pada tahun 1986 semasa pentadbiran Datuk Ahmad Razali Mohd Ali, menteri besar Selangor pada masa itu," risalah tersebut dipetik.

Projek ini menemui kegagalan pada 1992 namun diteruskan oleh DCSB, menurut dokumen itu lagi.

Selain memperincikan rentetan peristiwa berkaitan projek tersebut, risalah itu turut menamakan keempat-empat orang pengarah syarikat berkenaan dan juga sebuah syarikat pemegang saham utamanya.

"Tidak dapat dipastikan bagaimana DCSB yang pada masa dilantik pada Nov 1996 (untuk memajukan projek itu), baru saja ditubuhkan dua bulan sebelum itu.

"Pada masa yang sama, juga didapati ada di antara pengarah syarikat tersebut yang tidak mempunyai pengalaman dalam pembangunan rumah dan salah satu pengarah juga merupakan bekas pengawai daerah Hulu Selangor," menurut risalah itu lagi.

Kerajaan negeri pada 2005 telah mengambil alih sebahagian daripada projek berkenaan dan diletakkan di bawah PKNS.

"Bagaimanapun, tiada sebarang tindakan diambil ke atas pihak DCSB walaupun kerajaan telah menanggung kerugian yang besar dan pihak setinggan masih tidak berumah," menurut risalah itu lagi.

Sejak Januari 2007, PKNS kemudiannya menyambung semula projek berkenaan dengan melantik tiga kontraktor.

"Apa yang menghairankan, DCSB masih lagi dilantik dan dipertanggungjawabkan dengan 592 unit, iaitu paling banyak unit berbanding dengan dua kontraktor lain - PKNS Infra Bhd dan Selangor Industrial Corporation," risalah tersebut dipetik.

Selepas negeri itu jatuh ke tangan Pakatan Rakyat, Abdul Khalid pada September tahun lalu memutuskan untuk menamatkan kesemua kontrak pembinaan tersebut dengan alasan kerugian PKNS itu "secara tidak langsung ditanggung oleh kesemua pembayar cukai Selangor."

PKNS dijangka akan menanggung kerugian sebanyak RM136.4 juta sekiranya projek berkenaan diteruskan setelah RM48 juta sudah dibayar sebagai kos untuk menamatkan projek tersebut, termasuk bayaran guaman serta subsidi sewa.

Sunday, November 15, 2009

Satu lagi Kepincangan Bn zaman Khir Toyo


Dulu semasa 1Malaysia heboh dengan isu Istana bekas Doktor gigi ni yang berharga RM24Juta sahaja, Bekas Doktor gigi ini telah bersungguh-sungguh menafikan bahawa Istananya itu berharga RM3Juta sahaja.

Dan Istana itu dikatakan olehnya dibeli melalui pinjaman Bank yang bulanannya dibayar melalui keuntungan hasil dari menjadi doktor gigi yang berjumlah RM60,000 sebulan.

Padahal banyak rupanya projek Khir Toyo ni semasa menjadi MB Selangor dulu.. antaranya ialah yang telah didedahkan oleh Kerajaan Negeri Selangor Sekarang dibawah..

Kerajaan Selangor hari ini mendedahkan satu lagi dokumen yang menunjukkan mantan Menteri Besar Khir Toyo (Gambar) meluluskan projek perhutanan semula yang gagal mendatangkan pulangan kepada negeri itu tetapi memberi keuntungan lumayan kepada syarikat yang menerima tender berkenaan.

Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim berkata Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor mengikat perjanjian berat sebelah membabitkan 11,000 hektar tanah dengan syarikat yang mempunyai beberapa tokoh Umno sebagai pengarah.

Antara mereka ialah bekas Menteri Pertanian Sanusi Junid, dan bekas Exco Kerajaan Negeri, Abdul Rahman Pahlil.

Khalid menggunakan peruntukan sekysen 2C untuk mendedahkan dokumen berkenaan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 untuk mendedahkan penyelewengan yang berlaku bersabitt Projek Perhutanan Semula oleh Kerajaan Barisan Nasional.

Ini merupakan pendedahan kedua Pakatan Rakyat untuk memberi gambaran sepenuhnya 4 projek perhutanan semula di beberapa kawasan hutan simpan di Selangor sekitar 2001 hingga 2007.

Seluas 11,000 hektar kawasan hutan simpan terbabit dalam projek perhutanan semula berkenaan ialah Hutan Simpan Bukit Tarek dan Rantau Panjang (Fasa I) dan Hutan Simpan Sungai Jeloh dan Bukit Belata (Fasa II).

Khir Toyo telah mewar-warkan bahawa projek itu aakan membawa pulangan RM800 juta untuk kerajaan negeri dalam tempoh 20 tahun.

Bagaimanapun, hasil keuntungan yang diraih kerajaan negeri hanya RM500,000.
“Sejumlah lebih daripada 5,000 hektar hutan telah dibuka dan hutan di Bukit Tarek dan Rantau Panjang, Hutan Simpan Jeloh dan Bukit Belata dan syarikat-syarikat yang telah diberikan hutan ini,” .

Beliau berkata projek perhutanan itu berlaku sejak 10 tahun lalu dikepalai mantan Menteri Besar, Datuk Khir Toyo.

Empat lagi projek perhutanan terbabit melibatkan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dengan memajakkan tanah konsesinya kepada beberapa syarikat selama 25 hingga 50 tahun.

Tan Sri Khalid berkata, projek Khir Toyo ini juga turut mengusahakan taman herba untuk tujuan farmasi manakala projek perhutanan semula pula diusahakan dengan tanaman bernilai komersil iaitu pokok getah dan teakwood.

“Dia nak gantikan hutan ni dengan pokok getah dan setengahnya pula tak pernah tahu tanam pokok getah kerana mereka tidak berkemampuan untuk menanam getah, jadi benih getah tu umpamanya daripada kajian ini, kalau Guthrie buat benih getah, harga 2 ringgit, tapi dia dapat benih getah harga 25 ringgit”, katanya lagi.

Dalam fasa I, didapati semua penjanjian antara syarikat pemajak dan PKPS adalah berat sebelah apabila tanggungjawab diletakkan ke atas PKPS manakala margin keuntungan pula rendah.

Antara tujuh syarikat yang terbabit dalam Fasa I ialah Shrader Forest Management Sdn Bhd, Syarikat In-N-Out Plantation Management Sdn Bhd, Syarikat Megafores Nursery Sdn Bhd, Syarikat Mewah Ikhtiar Sdn Bhd, Syarikat Eco Murni Sdn Bhd, Syarikat Kayangan Rampai Sdn Bhd dan Syarikat Tropical Position Sdn Bhd.

Bagi Fasa II pula, sebanyak 4 syarikat terbabit iaitu Meigrand Sdn Bhd, Sim Swee Hin Sdn Bhd, Aliran Angsana Sdn Bhd dan Kinta Istimewa Sdn Bhd.

Patutlah Khir Toyo ni boleh bina Istana...

Wednesday, November 11, 2009

Selangor Dedah Kepincangan BN


Kerajaan Selangor mendedahkan dokumen satu daripada tiga projek - dikategorikan rahsia oleh kerajaan BN sebelum ini - yang memperincikan perpindahan hak milik tanah rakyat di Bukit Cerakah, Shah Alam kepada pemaju menyebabkan lebih 700 penduduk miskin kehilangan tanah mereka.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pendedahaan maklumat berkenaan berkaitan projek Bandar Alam Perdana, yang sebelum ini dikawal bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA), bertujuan untuk memberi gambaran sebenar projek berkenaan.

Beliau mendedahkan maklumat itu hari ini berdasarkan bidang kuasanya sebagai menteri besar Selangor seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 2(C) OSA.

Tambahnya, pendedahan melalui risalah yang akan diedarkan kepada masyarakat umum itu juga akan membolehkan petani dan pemilik tanah seluas 17,000 ekar itu mengambil tindakan ke atas pemaju terlibat.

"Sebelum ini mereka tidak boleh ambil tindakan sebab tidak tahu kedudukan sebenar," katanya dalam sidang media selepas persidangan DUN.

Abdul Khalid menjelaskan, pemilik tanah berkenaan, yang merupakan penduduk miskin, pada asalnya telah diberikan sebanyak tiga ekar tanah pertanian setiap seorang untuk diusahakan dengan tanaman kelapa sawit.

Katanya lagi, pemilik tanah menyerahkan tanah mereka kepada seorang pemaju yang menukarkan status tanah menjadi tanah komersil untuk dimajukan menjadi projek perumahan Bandar Alam Perdana.

Tambahnya, petani-petani tersebut telah dijanjikan untuk dibayar RM360,000 bagi tanah berkenaan

"Akhirnya pemilik tanah hilang tanah sebab pemaju cagarkan kepada bank, dan 30,000 pembeli rumah tidak mendapat rumah yang dijanjikan," katanya.

"Siapa menteri besar terlibat, siapa usahawan terlibat, semua kita masukkan dalam risalah ini, ada disertakan gambar juga takut salah orang."

Ketika ditanya, Abdul Khalid bagaimanapun gagal mengesahkan sama ada berlaku penyelewengan atau salah guna kuasa oleh mana-mana pihak dalam projek tersebut.

"Tujuan (pendedahan) untuk memberi maklumat. Terpulang kepada kita untuk tahu, dulu tanah pertanian, sekarang kalau kita pergi ke tempat situ, projek terbengkalai," katanya.

Katanya lagi, pendedahan ini salah satu daripada usaha untuk membincangkan enakmen baru mengenai kebebasan maklumat di DUN itu nanti.

Jelasnya lagi, risalah itu bertajuk 'Rancangan Revolusi Hijau dan Bandar Alam Perdana: Tanah Hilang, Rumah Tak Dapat' akan mula diedarkan kepada orang ramai pada Isnin depan.

Ia juga akan mula dimuatkan di laman web rasmi kerajaan negeri itu esok.

Semalam, Abdul Khalid berkata, kerajaan Selangor akan mendedahkan tiga dokumen berkaitan projek pembangunan di negeri itu yang didakwa telah menguntungkan syarikat-syarikat tertentu bawah pentadbiran BN.

Dua risalah rahsia dijadual didedahkan masing-masing pada 13 dan 16 November ini.

Monday, November 9, 2009

JIM: Bukan Islam boleh masuk masjid


Nov 10, 09 1:20pm

Seseorang bukan Islam tidak dilarang memasuki masjid jika niatnya baik dan dibenarkan orang Islam kecuali Masjidil Haram di Mekah, kata Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM).

Beberapa tokoh ulama tersohor dalam pemikiran Islam tidak melarang orang Islam berbuat demikian kecuali di tanah haram tersebut, kata Yang Dipertua JIM Selangor, Mohd Kamal Mohd Rathi.

"Menurut pandangan majoriti para ulama termasuk Imam Malik, Syafie dan ulama fiqh yang lain, adapun larangan khusus bagi bukan Muslim daripada memasuki masjid hanyalah terhad kepada Masjidil Haram di Mekah dan kawasan tanah suci di sekitarnya berdasarkan firman Allah dalam surah at-Taubah ayat 28," katanya.

Beliau mengulas ura-ura tindakan Jabatan Agam Islam Selangor (Jais) terhadap jawatankuasa sebuah masjid di DUN Seri Andalas minggu lalu yang membenarkan wakil rakyat di situ Dr Xavier Jayakumar menyampaikan ucapan di dalam tempat ibadat itu, Ogos lepas.

Wakil rakyat PKR itu, yang juga exco kerajaan Selangor, dilaporkan menyampaikan ceramah ketika merasmikan satu majis berbuka puasa tetapi dakwaan itu dinafikan oleh jawatankuasa masjid.

Dalam kenyataannya, JIM negeri juga berkata seseorang bukan Muslim wajar memasuki masjid berdasarkan syarat-syarat berikut:

- Non-Muslim diharuskan memasuki masjid selain daripada Masjidil Haram di Mekah dengan keizinan orang Islam.

- Mereka harus mempunyai sebab yang munasabah untuk memasuki masjid. Oleh itu sekiranya tujuan mereka memasuki masjid untuk memecahbelahkan perpaduan masyarakat atau menyebarkan fitnah maka hal ini adalah dilarang.

- Mereka seharusnya menghormati kesucian masjid dan perlu sedar bahawa masjid adalah tempat suci bagi orang Islam beribadah.

- Kedua-dua kaum lelaki dan wanita non-Muslim yang ingin memasuki masjid mestilah tidak mendedahkan aurat yakni anggota tubuh mereka yang seharusnya ditutup dengan pakaian yang bersesuaian.

"JIM Selangor juga percaya bahawa sikap terbuka masyarakat Islam dengan membenarkan bukan Muslim memasuki masjid berdasarkan syarat-syarat yang tersebut di atas sudah pasti memberikan peluang dan ruang untuk masyarakat Islam berdakwah dan menyampaikan mesej Islam kepada bukan Muslim," kata Mohd Kamal.

Tambahnya, bukan Muslim pula akan melihat keterbukaan Islam dalam memelihara keharmonian hubungan antara pelbagai kaum dan agama dalam negara ini.

"Amalan menerima bukan Islam memasuki masjid atas tujuan yang murni juga telah diamalkan di beberapa negara lain dan ia terbukti memberi nilai positif kepada keberkesanan dakwah Islam kepada bukan Muslim."

K'jaan S'gor beli hutang Talam Corporation

Salhan K Ahmad

Kerajaan Selangor "membeli" hutang daripada sebuah anak syarikatnya Talam Corporation untuk meningkatkan pendapatan negeri itu kepada RM392 juta melalui syarikat Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) yang baru dinaik taraf sebagai syarikat utama.

Langkah ini yang diluluskan melalui bajet tambahan kerajaan negeri dalam DUN Selangor hari ini, juga akan membolehkan MBI mengambil alih pengutipan hutang daripada syarikat berkenaan ke atas beberapa anak syarikat kerajaan negeri yang tertunggak sejak 10 tahun lalu.

DUN yang bersidang sebagai jawatankuasa hari ini bersetuju untuk memasukkan hutang tersebut sebagai satu peruntukan kerajaan negeri, kata menteri besar Tan Sri Khalid Ibrahim dalam sidang media petang ini.

Katanya, bebanan hutang berkenaan kini telah dipindahkan kepada kerajaan negeri secara geran manakala MBI yang dahulunya berada di bawah Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), kini diberikan lebih kuasa untuk memungut hutang berkenaan.

Tambahnya, anak-anak syarikat kerajaan negeri itu, termasuk di bawah KDEB, dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), diberi masa selama tiga bulan untuk melangsaikan hutang tersebut kepada MBI.

Khalid menjelaskan, langkah penstrukturan itu tersebut perlu dilakukan untuk mengikut tatacara dan ini telah menyelesaikan isu ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam mentadbir perbendaharaan kerajaan negeri.

"Saya akan buktikan kita ada banyak sumber yang kita telah buka dan dapatkan kembali," kata Khalid yang turut menjelaskan persetujuan telah dicapai antara kerajaan negeri dan anak syarikat tersebut untuk memindah hutang itu dalam satu perjanjian.

"Hutang ini telah berlaku sejak 10 tahun lalu tapi tak pernah dikutip... Sebelum ini amaun hutang tersebut tidak pernah diiktiraf sepenuhnya atau direkod dengan teliti dalam kewangan anak-anak syarikat kerajaan negeri," katanya.

Katanya lagi, menteri besar BN sebelum ini juga "gagal mengatur keutamaannya" dalam mengurus kewangan negeri itu.

"Bukan sahaja tidak mengutip hutang anak-anak syarikat malah guna untuk perbelanjaan Balkis dan lawat-melawat," katanya lagi.

Tambahnya, kerajaan Selangor juga tidak akan membuang masa "membeli penyapu untuk memungut hutang yang hanya beberapa juta ringgit" di pejabat daerah dan PBT, seperti yang dilakukan bekas menteri besar Datuk Seri Khir Toyo sebelum ini.

"Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor bertekad untuk meneruskan usaha bagi memastikan semua urusan perniagaan dan perbelanjaan yang boleh memberi keuntungan maksimum kepada rakyat dan usaha ini termasuk pelunasan hutang," katanya.

Lebih 5,000 rakyat Batu Caves memeriahkan Jamuan deepavali (3)




Lebih 5,000 rakyat Batu Caves memeriahkan Jamuan deepavali (2)





Lebih 5,000 rakyat Batu Caves memeriahkan Jamuan deepavali (1)






Lebih 5,000 ribu rakyat pelbagai kaum Batu Caves dan sekitar hadir memeriahkan jamuan Deepavali Parlimen Gombak & DUN Batu Caves. YB.Dr.Xavier Jayakumar, Exco Selangor hadir sebagai tetamu kehormat di samping beberapa orang Wakil Rakyat PR seperti YB.Azmin Ali, YB.Manikavasagam, Wakil Hindraf dan YB.William Leong. Rata-rata yang hadir melahirkan rasa gembira dengan jamuan yang diadakan sebagai mengeratkan hubungan antara kaum. YB. Dr.Xavier juga telah melahirkan hasrat kepada YB.Amirudin, ADUN Batu Caves untuk mengadakan Jamuan Deepavali Peringkat Negeri Selangor pada tahun hadapan di kawasan DUN Batu Caves.

BANJIR KILAT PALING TERUK MELANDA BATU CAVES (3)