Salhan K Ahmad
Kerajaan Selangor "membeli" hutang daripada sebuah anak syarikatnya Talam Corporation untuk meningkatkan pendapatan negeri itu kepada RM392 juta melalui syarikat Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) yang baru dinaik taraf sebagai syarikat utama.
Langkah ini yang diluluskan melalui bajet tambahan kerajaan negeri dalam DUN Selangor hari ini, juga akan membolehkan MBI mengambil alih pengutipan hutang daripada syarikat berkenaan ke atas beberapa anak syarikat kerajaan negeri yang tertunggak sejak 10 tahun lalu.
DUN yang bersidang sebagai jawatankuasa hari ini bersetuju untuk memasukkan hutang tersebut sebagai satu peruntukan kerajaan negeri, kata menteri besar Tan Sri Khalid Ibrahim dalam sidang media petang ini.
Katanya, bebanan hutang berkenaan kini telah dipindahkan kepada kerajaan negeri secara geran manakala MBI yang dahulunya berada di bawah Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), kini diberikan lebih kuasa untuk memungut hutang berkenaan.
Tambahnya, anak-anak syarikat kerajaan negeri itu, termasuk di bawah KDEB, dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), diberi masa selama tiga bulan untuk melangsaikan hutang tersebut kepada MBI.
Khalid menjelaskan, langkah penstrukturan itu tersebut perlu dilakukan untuk mengikut tatacara dan ini telah menyelesaikan isu ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam mentadbir perbendaharaan kerajaan negeri.
"Saya akan buktikan kita ada banyak sumber yang kita telah buka dan dapatkan kembali," kata Khalid yang turut menjelaskan persetujuan telah dicapai antara kerajaan negeri dan anak syarikat tersebut untuk memindah hutang itu dalam satu perjanjian.
"Hutang ini telah berlaku sejak 10 tahun lalu tapi tak pernah dikutip... Sebelum ini amaun hutang tersebut tidak pernah diiktiraf sepenuhnya atau direkod dengan teliti dalam kewangan anak-anak syarikat kerajaan negeri," katanya.
Katanya lagi, menteri besar BN sebelum ini juga "gagal mengatur keutamaannya" dalam mengurus kewangan negeri itu.
"Bukan sahaja tidak mengutip hutang anak-anak syarikat malah guna untuk perbelanjaan Balkis dan lawat-melawat," katanya lagi.
Tambahnya, kerajaan Selangor juga tidak akan membuang masa "membeli penyapu untuk memungut hutang yang hanya beberapa juta ringgit" di pejabat daerah dan PBT, seperti yang dilakukan bekas menteri besar Datuk Seri Khir Toyo sebelum ini.
"Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor bertekad untuk meneruskan usaha bagi memastikan semua urusan perniagaan dan perbelanjaan yang boleh memberi keuntungan maksimum kepada rakyat dan usaha ini termasuk pelunasan hutang," katanya.
Monday, November 9, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment