Tuesday, November 3, 2009
Kejadian Tanah Runtuh Di Jalan Rawang
Jalan ke Rawang terputus akibat tanah runtuh
Nov 3, 09 2:21pm
Jalan persekutuan di KM12 di Bukit Kanching, Rawang ditutup kepada semua lalulintas hari ini akibat cerun runtuh pada 2.45 pagi tadi.
Cerun yang runtuh itu, berkeluasan 200 hingga 250 meter, menutupi laluan kedua-dua arah Jalan Rawang-Selayang menyebabkan lebih 80,000 pengguna tidak dapat melalui jalan itu yang ditutup sejak 4.45 pagi.
Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Mansor melawat kawasan itu dan mengarahkan cawangan jalan dan cerun Jabatan Kerja Raya menyediakan satu laporan terperinci mengenai punca kejadian.
"Kerja pembinaan di kawasan berhampiran tempat kejadian harus dihentikan sementara menunggu laporan disiapkan bagi mengelak kejadian tanah runtuh berulang," katanya kepada pemberita.
Pada masa ini kerja pembersihan sedang giat dijalankan untuk membolehkan orang ramai kembali menggunakan laluan tersebut secepat mungkin.
Shaziman berkata jalan itu dijangka beroperasi seperti biasa pada pukul 7 pagi esok sekiranya tidak berlaku kejadian susulan dan hujan.
Pada 5.50 pagi, sepasukan polis serta unit anjing pengesan tiba di tempat kejadian dan mendapati tiada mangsa dan kenderaan yang tertimbus. BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment