Wednesday, February 4, 2009

Selangor Mahu Lahirkan Tenaga Kerja Mahir Berpengetahuan

SHAH ALAM, 31 Januari - Selangor berhasrat melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir dan berpengetahuan yang dapat menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara.

Justeru, kerajaan negeri sudah mengorak langkah dengan memfokuskan usaha melahirkan modal insan yang berkemahiran, mampu berfikir serta bertindak lebih kreatif dan inovatif.

Demikian dinyatakan Dato’ Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam ucapannya pada Majlis Konvokesyen kali ke-13 Inpens International College (Inpens) hari ini.

Menurutnya, kewujudan pusat latihan kemahiran seperti Inpens yang dimiliki kerajaan negeri boleh mempercepat usaha mencapai hasrat berkenaan.

“Pusat-pusat pendidikan kemahiran seperti Inpens ini bukan sahaja mampu melahirkan pekerja mahir dan berpengetahuan, tetapi turut membantu mengatasi masalah keciciran pelajar dalam pendidikan,” katanya.

Seramai 458 graduan Inpens menerima diploma dan sijil masing-masing daripada Abdul Khalid pada majlis yang berlangsung di Dewan Auditorium Jubli Perak, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri pagi tadi.

Daripada jumlah itu seramai 87 orang menerima diploma dan sijil akademik sementara 371 lagi menerima sijil kemahiran.

Beberapa pelajar cemerlang dalam akademik dan ko-kurikulum turut mendapat penghargaan menerusi enam anugerah yang disediakan iaitu Anugerah Khas Menteri Besar, Anugerah Yayasan Selangor, Anugerah Setiausaha Kerajaan Selangor (SUK), Anugerah Cemerlang Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Anugerah Industri Automatif dan Anugerah Presiden.

Anugerah tertinggi pelajar iaitu Anugerah Khas Menteri Besar diterima graduan Diploma Mekatronik, Ridhwan Ishak dan pemegang Sijil Juruteknik Sistem Komputer, Zakri Zainal. - NOOR ALLIA KASSIM

No comments: