Friday, February 6, 2009

Ahli Parlimen Gombak dilantik Ahli Lembaga Pengarah PKNS

Dua Exco dan Seorang Adun Anggotai Lembaga Pengarah PKNS
Wednesday, 04 February 2009 | Ruangan: Berita

SHAH ALAM, 4 Februari- Kerajaan negeri hari ini mengumumkan pelantikan tiga Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang baru.

Dato’ Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata dua ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang juga Ahli Parlimen Gombak dilantik untuk menerajui anak syarikat kerajaan negeri itu.

“Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) hari ini telah membuat keputusan untuk melantik Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok Suh Sim dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abd Samad dan Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali sebagai Ahli Lembaga Pengarah,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan MMKN di sini, petang tadi.

Menurutnya, kerajaan negeri yakin dan percaya pelantikan ketiga-tiga mereka dapat membantu membawa PKNS mencapai matlamat asal dalam memberi fokus kepada perniagaan pembangunan hartanah di samping meningkatkan pembangunan sosio-ekonomi masyarakat serta memacu PKNS ke tahap lebih tinggi.

Dalam perkembangan lain, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu menjemput semua warga Selangor untuk menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina peringkat negeri yang akan diadakan di kawasan lapang sebelah pusat membeli belah Sunway Pyramid, Sabtu ini.

Menurut Ronnie, pelbagai persembahan menarik disediakan sepanjang program itu berlangsung.

“Program ini bermula jam 5.00 petang dan akan berakhir pada jam 10.00 malam,” katanya.-MURIZA ABDUL HAMID

No comments: