TUDUHAN UMNO MELALUI RAJA PETRA:
TIDAK ADA SALAHGUNA KUASA, PENYELEWENGAN MELAINKAN CUBAAN BARISAN NASIONAL MENAWAN SELANGOR
Saya merujuk kepada
penulisan Raja Petra Kamaruddin bertajuk “The Selangor Sand Mining Scandal” di
dalam laman webnya yang mempunyai banyak kesalahan fakta dan berniat amat jahat
dengan memutar belitkan beberapa perkara untuk memberi gambaran saya dan sdr Amiruddin
terbabit dengan salahlaku rasuah.
Artikel beliau itu
ditulis secara berhati-hati untuk memberi gambaran seperti berikut:
1.
Bahawa saya dan YB Amiruddin Shari menubuhkan sebuah syarikat;
atau terbabit dengan sebuah syarikat bernama Double Dignity (M) Sdn Bhd dengan
tujuan mendapatkan kerja-kerja pembersihan pasir dari Kumpulan Semesta Sdn Bhd
(KSSB) secara tidak sah;
2.
Bahawa saya dan YB Amiruddin Shari adalah ahli politik yang
makan rasuah dengan menuntut pelbagai bayaran dari Double Dignity (M) Sdn Bhd;
dan
3.
Bahawa saya dan YB Amiruddin Shari adalah dalang aktiviti
kecurian pasir yang berlaku di Selangor pada ketika itu.
Penjelasan saya mengenai
Double Dignity (M) Sdn Bhd bakal membuktikan bagaimana Raja Petra Kamaruddin
hanya menggunakan beberapa insiden biasa dengan menyembunyikan perkara sebenar
bertujuan untuk mencemar imej Pakatan Rakyat, Wakil Rakyat KEADILAN dan
memfitnah saya serta YB Amiruddin Shari.
LATAR BELAKANG DOUBLE DIGNITY
(M) SDN BHD
§
Saya mengenali En Adnan iaitu tuan punya Double Dignity (M) Sdn
Bhd melalui seorang kenalan. Kenalan tersebut mohon berjumpa dengan saya untuk
memperkenalkan En Adnan kepada saya dalam bulan Januari 2009.
§
En Adnan memperkenalkan Double Dignity (M) Sdn Bhd sebagai
sebuah syarikat yang ditubuhkan untuk melaksanakan aktiviti perladangan kelapa
sawit di Sabah.
§
Saya menjelaskan secara tegas kepada beliau bahawa saya tidak
punya kuasa untuk mempengaruhi apa-apa keputusan Kerajaan Negeri di Selangor.
§
En Adnan memaklumkan bahawa Double Dignity (M) Sdn Bhd tidak mempunyai
rancangan untuk menjalankan aktiviti di Selangor dan mahu menumpukan aktiviti
perladangannya di Sabah.
§
Selepas pertemuan awal itu, saya tidaklah selalu berjumpa En
Adnan seperti yang cuba digambarkan oleh Raja Petra Kamaruddin dan sebarang
pertemuan adalah dalam tugasan saya sebagai wakil rakyat.
LANTIKAN KE LEMBAGA PENGARAH
DOUBLE DIGNITY (M) SDN BHD
§
Menjelang Mei 2009, En Adnan menyatakan hasrat beliau untuk
menjemput saya menganggotai Lembaga Pengarah Double Dignity (M) Sdn Bhd. Beliau
menyebut bahawa syarikat tersebut berhasrat untuk membayar elaun ahli Lembaga
Pengarah sebanyak RM5,000 sebulan sebagai permulaan.
§
Berikutan dari tawaran tersebut, saya ada meminta pegawai saya
dan kenalan untuk menyemak latar belakang En Adnan, termasuklah memastikan
bahawa beliau dan isteri beliau benar-benar duduk serumah untuk mengelakkan
perangkap seperti yang berlaku di Perak.
§
Semakan awal pegawai dan kenalan saya menunjukkan bahawa En
Adnan dan isterinya serta seorang lagi rakannya adalah individu yang sah dan
syarikat Double Dignity (M) Sdn Bhd benar-benar wujud. Salah seorang Ahli
Lembaga Pengarah dalam syarikat ini adalah anak saudara kepada seorang Wakil
Rakyat dari UMNO.
§
Oleh kerana bersangka baik dan hubungan atas dasar
profesionalisme perniagaan, saya memberikan persetujuan untuk dilantik ke
Lembaga Pengarah Double Dignity (M) Sdn Bhd bermula bulan Jun 2009. Saya telah
menyerahkan dokumen dan maklumat yang dimohon untuk menyempurnakan perlantikan
tersebut dalam bulan Jun 2009.
§
Saya tidak dimaklumkan oleh Double Dignity (M) Sdn Bhd bahawa
perlantikan saya ke Lembaga Pengarahnya hanya disempurnakan pada 18 Januari
2010 seperti yang ditunjukkan rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia; bertepatan
dengan tarikh 18 Januari 2010 dalam satu surat sokongan yang disiarkan oleh
Raja Petra Kamaruddin.
§
Gambaran yang cuba diberikan seolah-olah perlantikan saya ke
Lembaga Pengarah adalah sebagai balasan untuk mendapatkan kontrak pembersihan
pasir dari Kumpulan Semesta Sdn Bhd adalah berniat jahat dan tidak tepat,
kerana perlantikannya saya dibuat lebih awal.
§
Menjelang September 2009, En Adnan menawarkan satu lagi jawatan
ahli Lembaga Pengarah dan memohon bantuan saya mengenalpasti calon-calon yang
bersesuaian.
§
Saya memperkenalkan YB Amiruddin Shari dan selepas beberapa kali
perbincangan, YB Amiruddin Shari bersetuju untuk turut dilantik menjadi ahli
Lembaga Pengarah Double Dignity (M) Sdn Bhd.
§
Segala butiran yang diperlukan untuk menyempurnakan perlantikan
YB Amiruddin Shari diberikan kepada Double Dignity (M) Sdn Bhd dalam bulan
September 2009.
TUDUHAN PERMOHONAN KONTRAK
PEMBERSIHAN PASIR OLEH DOUBLE DIGNITY (M) SDN BHD
§
Raja Petra menuduh bahawa saya mengarahkan Double Dignity (M)
Sdn Bhd untuk menghantar permohonan membersihkan pasir kepada Kumpulan Semesta
Sdn Bhd di dalam satu mesyuarat bertarikh 29 May 2009.
§
Seterusnya beliau cuba bermain kata-kata dengan menyebut bahawa
pada 18 Januari 2010, Double Dignity (M) Sdn Bhd telah menghantar permohonan
tersebut dan menyalinkannya kepada saya dan YB Amiruddin.
§
Raja Petra juga menyebut bagaimana permohonan itu disertakan
dengan surat sokongan dari YB Amiruddin Shari.
§
Rekod Kumpulan Semesta Sdn Bhd menunjukkan bahawa:
1.
Double Dignity (M) Sdn Bhd tidak pernah pun berdaftar dengan
Kumpulan Semesta Sdn Bhd sehingga ke hari ini (hanya syarikat yang berdaftar dengan
Kumpulan Semesta Sdn Bhd yang layak membuat sebarang permohonan);
2.
Double Dignity (M) Sdn Bhd tidak pernah membuat sebarang
permohonan untuk apa-apa kerja pembersihan pasir dengan Kumpulan Semesta Sdn
Bhd; dan
3.
Double Dignity (M) Sdn Bhd tidak pernah diberikan apa-apa kerja
pembersihan pasir oleh Kumpulan Semesta Sdn BHd.
§
Maknanya, Raja Petra mereka-reka cerita dengan berniat buruk dan
memberi gambaran bahawa penglibatan saya dengan Double Dignity (M) Sdn Bhd
adalah bagi tujuan mendapatkan kontrak pembersihan pasir, sedangkan syarikat
terbabit tidak pernah sekalipun terlibat dalam sebarang urusan dengan Kumpulan
Semesta Sdn Bhd mahupun permohonan mencuci pasir di Selangor.
§
Oleh yang demikian;
1.
Tuduhan bahawa saya mengarahkan Double Dignity (M) Sdn Bhd
membuat permohonan dengan Kumpulan Semesta Sdn Bhd adalah satu pembohongan; dan
2.
Tuduhan bahawa pada 18 Januari 2010, satu permohonan telah
dibuat oleh Double Dignity (M) Sdn Bhd kepada Kumpulan Semesta Sdn Bhd juga
satu pembohongan.
3.
Perlu diketahui bahawa permohonan untuk mencuci muka sauk
seperti dipohon dalam surat yang dikemukakan oleh Raja Petra seharusnya
ditujukan kepada pihak yang menjaga kawasan terlibat iaitu PUAS bukannya
Kumpulan Semesta.
§
Jika dilihat kembali, tarikh 18 Januari 2010 dipilih sebagai
tarikh penting dalam fitnah ini kerana ia adalah tarikh lantikan saya dan YB
Amiruddin Shari ke Lembaga Pengarah Double Dignity (M) Sdn Bhd, walaupun
butiran saya dan YB Amiruddin Shari telah diberikan jauh lebih awal dari itu.
§
Tarikh 18 Januari 2010 juga ditulis dengan tangan oleh individu
dari Double Dignity (M) Sdn Bhd pada surat sokongan dari YB Amiruddin Shari –
bermakna ia dirancang sedemikian rupa untuk memfitnah kami.
§
Malangnya, Raja Petra dan pihak yang mahu memfitnah saya terlupa
untuk merekacipta satu permohonan palsu di Kumpulan Semesta Sdn Bhd agar dapat dipadankan
dengan tarikh 18 Januari 2010 itu.
SURAT SOKONGAN KEPADA PERMOHONAN
DOUBLE DIGNITY (M) SDN BHD
§
Raja Petra menulis untuk memberi gambaran bahawa YB Amiruddin
Shari mengeluarkan surat sokongan bagi mempengaruhi keputusan permohonan Double
Dignity (M) Sdn Bhd mendapatkan kerja-kerja pembersihan pasir.
§
YB Amiruddin Shari mengesahkan surat tersebut dikeluarkan tetapi
dengan syarat ketat bahawa ia perlu mematuhi prosedur dan tata kerja yang
ditetapkan, sebagai isyarat kepada mana-mana pihak yang ditunjukkan surat itu
supaya mematuhi semua peraturan.
§
Oleh kerana syarat tersebut ditetapkan, ia tidak mempunyai
apa-apa kesan untuk mempengaruhi apa-apa keputusan.
§
Pun begitu, sebagai wakil rakyat telah menjadi kebiasaan orang
ramai datang mendapatkan surat sokongan bagi pelbagai tujuan. Apabila
bertepatan dengan tugas seorang wakil rakyat dan tidak melanggar peraturan
(melalui syarat yang jelas yang ditulis di dalam surat sokongan), ada waktunya
surat sokongan sedemikian rupa dikeluarkan.
§
Bezanya dengan surat sokongan yang menjadi amalan Barisan
Nasional ialah wakil-wakil rakyat Pakatan Rakyat tidak campur tangan dan tidak
menghubungi pegawai yang berkenaan untuk mengenakan tekanan dan mempengaruhi
keputusan.
§
Dalam kes Double Dignity (M) Sdn Bhd ini, permohonan pun tidak
pernah dibuat kepada Kumpulan Semesta Sdn Bhd – maka tidak ada sebarang
salahguna kuasa mahupun penyelewengan.
§
Walau bagaimana pun, saya dan YB Amiruddin Shari mengakui bahawa
tindakan mengeluarkan surat sokongan perlu lebih perhatian dan wajar dihentikan
sama sekali memandangkan ia boleh dijadikan perangkap untuk memfitnah Pakatan
Rakyat, seperti yang berlaku dalam kes ini.
BAYARAN OLEH DOUBLE DIGNITY (M)
SDN BHD
§
Artikel Raja Petra cuba memberi gambaran bahawa saya memeras
ugut dan menuntut bayaran yang berterusan dan melampaui batas dari Double
Dignity (M) Sdn Bhd.
§
Hakikatnya, urusan saya dan YB Amiruddin Shari dengan Double
Dignity (M) Sdn Bhd adalah hubungan profesional dalam kapasiti saya dan beliau
sebagai ahli Lembaga Pengarah.
§
Bayaran-bayaran yang disebut oleh Raja Petra sebahagian besarnya
adalah elaun ahli Lembaga Pengarah sebanyak RM5,000 sebulan seperti yang ditawarkan
oleh Double Dignity (M) Sdn Bhd.
§
Saya senaraikan setiap pembayaran dan pembohongan Raja Petra
seperti berikut:
TARIKH
|
JUMLAH
(RM)
|
TUJUAN
PEMBAYARAN
|
15 Ogos 2009
|
3,000
|
Pembayaran elaun
Lembaga Pengarah oleh Double Dignity (M) Sdn Bhd bagi bulan Jun 2009
|
25 Ogos 2009
|
2,000
|
Pembayaran elaun
Lembaga Pengarah oleh Double Dignity (M) Sdn Bhd bagi bulan Jun 2009
|
9 September 2009
|
10,000
|
Pembayaran elaun
Lembaga Pengarah oleh Double Dignity (M) Sdn Bhd bagi bulan Julai dan Ogos
2009. Tuduhan bahawa saya menuntut dan menerima bayaran RM35,000 pada tarikh
tersebut adalah pembohongan semata-mata.
Tuduhan bahawa saya
menuntut bayaran untuk menampung perbelanjaan aktiviti Ramadhan juga adalah
pembohongan semata-mata
|
16 dan 17 September
2009
|
5,000
|
Tuduhan bahawa saya
mengarahkan En Adnan mengadakan satu majlis buka puasa adalah satu
pembohongan.
Saya dan YB Amiruddin
Shari dijemput menghadiri majlis buka puasa syarikat, atas kapasiti saya
sebagai ahli Lembaga Pengarah syarikat.
Bayaran yang diberikan
sebanyak RM5,000 adalah elaun Lembaga Pengarah bagi bulan September 2009 yang
dibayar awal. En Adnan menyatakan pembayaran bagi bulan September dibuat awal
memandangkan beliau tidak akan ada di Kuala Lumpur semasa hujung bulan kerana
pulang beraya di kampung
|
30 September 2009
|
10,000
|
Saya mengesahkan
bahawa saya ada memohon sumbangan derma kepada aktiviti jamuan raya yang
diadakan di kawasan saya dari En Adnan. Di peringkat awal beliau yang
menawarkan membantu kerana kami adalah rakan perniagaan bersama.
Saya juga mengesahkan
bahawa saya ada menerima RM10,000 bagi tujuan tersebut melalui pegawai
pejabat saya
|
5 Januari 2010
|
50,000
|
Ini adalah pembohongan
paling besar yang cuba memutar belitkan keadaan sebenar untuk memfitnah saya.
Seorang kenalan saya
(tidak dinamakan untuk menjaga aib beliau, dirujuk sebagai A), menghubungi
saya untuk mendapatkan bantuan meminjam wang bagi menjelaskan bayaran beliau
pada kontraktor yang mengubahsuai pusat asuhan beliau. Beliau sedang ubahsuai
pejabat dalam usaha membuka sebuah pusat Smartreader di Kota Damansara pada
ketika itu.
Saya ada menanyakan
beberapa orang rakan yang lain untuk meminjamkan wang RM50,000 yang
diperlukan bagi pihaknya sementara pinjaman rakan A diluluskan oleh PNS.
Akhirnya saya bertanya
rakan niaga iaitu, En Adnan yang bersetuju memberikan pinjaman tersebut.
Walau bagaimana pun,
saya tidak berada di Kuala Lumpur pada masa itu dan A memerlukan wang dengan
segera untuk membayar kontraktor yang sedang mengubahsuai pusat Smartreadernya
iaitu kontraktor bernama Smart Renovators Sdn Bhd.
Oleh sebab itulah,
saya memohon supaya wang RM50,000 dimasukkan ke dalam akaun seorang lagi
rakan saya iaitu Ashmali dan isterinya Puan Norlela untuk diuruskan. Oleh
kerana saya menjamin pinjaman tersebut, saya tidak mahu menyerahkan
keseluruhan RM50,000 kepada A dan mahukan bayaran dibuat terus kepada
kontraktor, agar wang tidak diselewengkan kegunaannya.
Puan Norlela membantu
saya menguruskan pemindahan wang tersebut seperti berikut:
RM27,500 dibayar terus dalam
bentuk cek bank kepada kontraktor
RM12,500 dibayar terus dalam
bentuk cek kepada rakan kongsi A, iaitu Puan Farah
Kesemua cek dan baki RM10,000
diserahkan oleh Puan Norlela kepada Azmin Karim iaitu Pegawai Khas Pejabat
saya, bagi pihak saya yang kemudiannya disampaikan kepada A.
Tidak ada satu sen pun
dari wang tersebut yang diberikan kepada saya, ia adalah satu urusan
berhutang peribadi biasa di antara seorang ahli perniagaan kepada seorang rakan
yang lain.
Saya hanyalah peminjam
dan penjamin yang menjadi orang tengah dan kini menjadi mangsa fitnah apabila
urusan peribadi ini diputar belitkan.
Dalam perkara ini
kesemua rakan saya turut menjadi mangsa keadaan yang diputarbelitkan dan saya
amat simpati dengan mereka yang tertarik bersama dalam ‘permainan’ ini
|
§
Oleh yang demikian, selain dari sumbangan bagi jamuan hari raya
berjumlah RM10,000 pada 30 September 2009 – semua bayaran yang dibuat kepada
saya adalah dalam kapasiti saya sebagai Lembaga Pengarah Double Dignity (M) Sdn
Bhd.
§
Sepanjang penglibatan saya dan YB Amiruddin Shari di dalam
Double Dignity (M) Sdn Bhd, saya hanya menerima 6 kali pembayaran elaun iaitu
bagi tempoh Jun hingga Disember 2009. YB Amiruddin pula menerima 3 kali iaitu
bagi tempoh Oktober hingga Disember 2009.
§
Ia langsung tidak ada kena mengena dengan sebarang bayaran bagi
tujuan mendapatkan kontrak atau pun tuntutan bayaran bagi perbelanjaan saya
seperti yang dituduh Raja Petra.
PERBUALAN TELEFON DAN CUBAAN
MENGAITKAN YB AZMIN ALI
§
Saya menafikan perbualan telefon yang disiarkan oleh Raja Petra.
Saya yakin seperti juga pembohongan yang dibuat mengenai permohonan kontrak
oleh Double Dignity (M) Sdn Bhd yang tidak wujud dan bayaran-bayaran yang tidak
wujud, perbualan telefon itu juga adalah rekaan putar belit dialog yang
diselang seli dengan perbualan sebenar yang di mungkin di rakam
§
Saya juga mengecam sekeras-kerasnya cubaan untuk mengaitkan
fitnah ini dengan YB Azmin Ali kerana beliau langsung tidak terbabit di dalam
perkara ini.
§
Saya mengesyaki bahawa pihak yang mendalangi fitnah ini
terkeliru dengan Azmin Karim, iaitu pegawai saya yang banyak menjalankan tugas
bagi pihak saya.
Kesimpulannya, Raja
Petra menulis artikel tersebut dengan niat jahat untuk memberikan gambaran
buruk sedangkan realitinya adalah berlainan sekali.
Saya yakin beliau kini
bersekongkol dengan anasir-anasir Barisan Nasional yang cuba mengalihkan
perhatian dari skandal NFC yang semakin memuncak. Harapan mereka dengan
menimbulkan fitnah sebegini, ia menimbulkan keraguan dan ketidakyakinan rakyat kepada
mana-mana parti politik Pakatan Rakyat
Saya juga ingin menyebut
bahawa kes ini telah disiasat sepenuhnya oleh SPRM dan sehingga sekarang tidak
ada sebarang tindakan lanjut. Saya menceritakan kesemua perkara di atas semasa
saya di siasat SPRM pada Julai 2010 lepas. Saya juga dimaklumkan secara
peribadi oleh pegawai penyiasat SPRM bahawa tuduhan ini tidak benar dan tidak
melibatkan salahguna kuasa.
Ini bukanlah kali
pertama Barisan Nasional dan mereka yang bersekongkol seperti Raja Petra
mengambil beberapa insiden dan diputar belitkan untuk memfitnah Pakatan Rakyat
di Selangor. Saya dan YB Amiruddin Shari bernasib baik kerana kami masih hidup
dan tidak menerima nasib yang menimpa mendiang Teoh Beng Hock, yang turut
dijadikan mangsa sebegini semata-mata untuk memfitnah Pakatan Rakyat.
Akhir sekali, cabaran
saya dan YB Amiruddin Shari kepada Barisan Nasional dan Raja Petra – kalau
benarlah saya dan YB Amiruddin Shari telah melakukan salahguna kuasa, menuntut
bayaran untuk mempengaruhi keputusan dan sebagainya – sila senaraikan segala keputusan yang telah dipengaruhi termasuklah
kawasan-kawasan balak, pasir dan tanah yang telah diluluskan bagi kepentingan
peribadi kami. Nyatakan kawasan mana sebagai dorongan bagi setiap bayaran yang
dilakukan jika benar berlakunya salahguna kuasa.
Tuduhan yang hendak
dibuat perlulah mempunyai bukti yang kukuh, seperti mana yang dibawa oleh
KEADILAN dalam kes NFC. Jika tidak, ini hanyalah satu lagi fitnah bersiri untuk
menggoyang keyakinan rakyat kepada Pakatan Rakyat.
ADUN SRI MUDA
AMIRUDDIN SHARI
ADUN BATU CAVES
10 FEBRUARI 2012
No comments:
Post a Comment