Wednesday, November 11, 2009

Selangor Dedah Kepincangan BN


Kerajaan Selangor mendedahkan dokumen satu daripada tiga projek - dikategorikan rahsia oleh kerajaan BN sebelum ini - yang memperincikan perpindahan hak milik tanah rakyat di Bukit Cerakah, Shah Alam kepada pemaju menyebabkan lebih 700 penduduk miskin kehilangan tanah mereka.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pendedahaan maklumat berkenaan berkaitan projek Bandar Alam Perdana, yang sebelum ini dikawal bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA), bertujuan untuk memberi gambaran sebenar projek berkenaan.

Beliau mendedahkan maklumat itu hari ini berdasarkan bidang kuasanya sebagai menteri besar Selangor seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 2(C) OSA.

Tambahnya, pendedahan melalui risalah yang akan diedarkan kepada masyarakat umum itu juga akan membolehkan petani dan pemilik tanah seluas 17,000 ekar itu mengambil tindakan ke atas pemaju terlibat.

"Sebelum ini mereka tidak boleh ambil tindakan sebab tidak tahu kedudukan sebenar," katanya dalam sidang media selepas persidangan DUN.

Abdul Khalid menjelaskan, pemilik tanah berkenaan, yang merupakan penduduk miskin, pada asalnya telah diberikan sebanyak tiga ekar tanah pertanian setiap seorang untuk diusahakan dengan tanaman kelapa sawit.

Katanya lagi, pemilik tanah menyerahkan tanah mereka kepada seorang pemaju yang menukarkan status tanah menjadi tanah komersil untuk dimajukan menjadi projek perumahan Bandar Alam Perdana.

Tambahnya, petani-petani tersebut telah dijanjikan untuk dibayar RM360,000 bagi tanah berkenaan

"Akhirnya pemilik tanah hilang tanah sebab pemaju cagarkan kepada bank, dan 30,000 pembeli rumah tidak mendapat rumah yang dijanjikan," katanya.

"Siapa menteri besar terlibat, siapa usahawan terlibat, semua kita masukkan dalam risalah ini, ada disertakan gambar juga takut salah orang."

Ketika ditanya, Abdul Khalid bagaimanapun gagal mengesahkan sama ada berlaku penyelewengan atau salah guna kuasa oleh mana-mana pihak dalam projek tersebut.

"Tujuan (pendedahan) untuk memberi maklumat. Terpulang kepada kita untuk tahu, dulu tanah pertanian, sekarang kalau kita pergi ke tempat situ, projek terbengkalai," katanya.

Katanya lagi, pendedahan ini salah satu daripada usaha untuk membincangkan enakmen baru mengenai kebebasan maklumat di DUN itu nanti.

Jelasnya lagi, risalah itu bertajuk 'Rancangan Revolusi Hijau dan Bandar Alam Perdana: Tanah Hilang, Rumah Tak Dapat' akan mula diedarkan kepada orang ramai pada Isnin depan.

Ia juga akan mula dimuatkan di laman web rasmi kerajaan negeri itu esok.

Semalam, Abdul Khalid berkata, kerajaan Selangor akan mendedahkan tiga dokumen berkaitan projek pembangunan di negeri itu yang didakwa telah menguntungkan syarikat-syarikat tertentu bawah pentadbiran BN.

Dua risalah rahsia dijadual didedahkan masing-masing pada 13 dan 16 November ini.

Monday, November 9, 2009

JIM: Bukan Islam boleh masuk masjid


Nov 10, 09 1:20pm

Seseorang bukan Islam tidak dilarang memasuki masjid jika niatnya baik dan dibenarkan orang Islam kecuali Masjidil Haram di Mekah, kata Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM).

Beberapa tokoh ulama tersohor dalam pemikiran Islam tidak melarang orang Islam berbuat demikian kecuali di tanah haram tersebut, kata Yang Dipertua JIM Selangor, Mohd Kamal Mohd Rathi.

"Menurut pandangan majoriti para ulama termasuk Imam Malik, Syafie dan ulama fiqh yang lain, adapun larangan khusus bagi bukan Muslim daripada memasuki masjid hanyalah terhad kepada Masjidil Haram di Mekah dan kawasan tanah suci di sekitarnya berdasarkan firman Allah dalam surah at-Taubah ayat 28," katanya.

Beliau mengulas ura-ura tindakan Jabatan Agam Islam Selangor (Jais) terhadap jawatankuasa sebuah masjid di DUN Seri Andalas minggu lalu yang membenarkan wakil rakyat di situ Dr Xavier Jayakumar menyampaikan ucapan di dalam tempat ibadat itu, Ogos lepas.

Wakil rakyat PKR itu, yang juga exco kerajaan Selangor, dilaporkan menyampaikan ceramah ketika merasmikan satu majis berbuka puasa tetapi dakwaan itu dinafikan oleh jawatankuasa masjid.

Dalam kenyataannya, JIM negeri juga berkata seseorang bukan Muslim wajar memasuki masjid berdasarkan syarat-syarat berikut:

- Non-Muslim diharuskan memasuki masjid selain daripada Masjidil Haram di Mekah dengan keizinan orang Islam.

- Mereka harus mempunyai sebab yang munasabah untuk memasuki masjid. Oleh itu sekiranya tujuan mereka memasuki masjid untuk memecahbelahkan perpaduan masyarakat atau menyebarkan fitnah maka hal ini adalah dilarang.

- Mereka seharusnya menghormati kesucian masjid dan perlu sedar bahawa masjid adalah tempat suci bagi orang Islam beribadah.

- Kedua-dua kaum lelaki dan wanita non-Muslim yang ingin memasuki masjid mestilah tidak mendedahkan aurat yakni anggota tubuh mereka yang seharusnya ditutup dengan pakaian yang bersesuaian.

"JIM Selangor juga percaya bahawa sikap terbuka masyarakat Islam dengan membenarkan bukan Muslim memasuki masjid berdasarkan syarat-syarat yang tersebut di atas sudah pasti memberikan peluang dan ruang untuk masyarakat Islam berdakwah dan menyampaikan mesej Islam kepada bukan Muslim," kata Mohd Kamal.

Tambahnya, bukan Muslim pula akan melihat keterbukaan Islam dalam memelihara keharmonian hubungan antara pelbagai kaum dan agama dalam negara ini.

"Amalan menerima bukan Islam memasuki masjid atas tujuan yang murni juga telah diamalkan di beberapa negara lain dan ia terbukti memberi nilai positif kepada keberkesanan dakwah Islam kepada bukan Muslim."

K'jaan S'gor beli hutang Talam Corporation

Salhan K Ahmad

Kerajaan Selangor "membeli" hutang daripada sebuah anak syarikatnya Talam Corporation untuk meningkatkan pendapatan negeri itu kepada RM392 juta melalui syarikat Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) yang baru dinaik taraf sebagai syarikat utama.

Langkah ini yang diluluskan melalui bajet tambahan kerajaan negeri dalam DUN Selangor hari ini, juga akan membolehkan MBI mengambil alih pengutipan hutang daripada syarikat berkenaan ke atas beberapa anak syarikat kerajaan negeri yang tertunggak sejak 10 tahun lalu.

DUN yang bersidang sebagai jawatankuasa hari ini bersetuju untuk memasukkan hutang tersebut sebagai satu peruntukan kerajaan negeri, kata menteri besar Tan Sri Khalid Ibrahim dalam sidang media petang ini.

Katanya, bebanan hutang berkenaan kini telah dipindahkan kepada kerajaan negeri secara geran manakala MBI yang dahulunya berada di bawah Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), kini diberikan lebih kuasa untuk memungut hutang berkenaan.

Tambahnya, anak-anak syarikat kerajaan negeri itu, termasuk di bawah KDEB, dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), diberi masa selama tiga bulan untuk melangsaikan hutang tersebut kepada MBI.

Khalid menjelaskan, langkah penstrukturan itu tersebut perlu dilakukan untuk mengikut tatacara dan ini telah menyelesaikan isu ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam mentadbir perbendaharaan kerajaan negeri.

"Saya akan buktikan kita ada banyak sumber yang kita telah buka dan dapatkan kembali," kata Khalid yang turut menjelaskan persetujuan telah dicapai antara kerajaan negeri dan anak syarikat tersebut untuk memindah hutang itu dalam satu perjanjian.

"Hutang ini telah berlaku sejak 10 tahun lalu tapi tak pernah dikutip... Sebelum ini amaun hutang tersebut tidak pernah diiktiraf sepenuhnya atau direkod dengan teliti dalam kewangan anak-anak syarikat kerajaan negeri," katanya.

Katanya lagi, menteri besar BN sebelum ini juga "gagal mengatur keutamaannya" dalam mengurus kewangan negeri itu.

"Bukan sahaja tidak mengutip hutang anak-anak syarikat malah guna untuk perbelanjaan Balkis dan lawat-melawat," katanya lagi.

Tambahnya, kerajaan Selangor juga tidak akan membuang masa "membeli penyapu untuk memungut hutang yang hanya beberapa juta ringgit" di pejabat daerah dan PBT, seperti yang dilakukan bekas menteri besar Datuk Seri Khir Toyo sebelum ini.

"Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor bertekad untuk meneruskan usaha bagi memastikan semua urusan perniagaan dan perbelanjaan yang boleh memberi keuntungan maksimum kepada rakyat dan usaha ini termasuk pelunasan hutang," katanya.

Lebih 5,000 rakyat Batu Caves memeriahkan Jamuan deepavali (3)




Lebih 5,000 rakyat Batu Caves memeriahkan Jamuan deepavali (2)





Lebih 5,000 rakyat Batu Caves memeriahkan Jamuan deepavali (1)






Lebih 5,000 ribu rakyat pelbagai kaum Batu Caves dan sekitar hadir memeriahkan jamuan Deepavali Parlimen Gombak & DUN Batu Caves. YB.Dr.Xavier Jayakumar, Exco Selangor hadir sebagai tetamu kehormat di samping beberapa orang Wakil Rakyat PR seperti YB.Azmin Ali, YB.Manikavasagam, Wakil Hindraf dan YB.William Leong. Rata-rata yang hadir melahirkan rasa gembira dengan jamuan yang diadakan sebagai mengeratkan hubungan antara kaum. YB. Dr.Xavier juga telah melahirkan hasrat kepada YB.Amirudin, ADUN Batu Caves untuk mengadakan Jamuan Deepavali Peringkat Negeri Selangor pada tahun hadapan di kawasan DUN Batu Caves.

BANJIR KILAT PALING TERUK MELANDA BATU CAVES (3)