Thursday, July 9, 2009

Sultan: Usah Guna Kedudukan YB Untuk Kepentingan Peribadi


Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, mengingatkan wakil rakyat supaya tidak mengambil kesempatan untuk kepentingan peribadi yang boleh menghancurkan kesejahteraan rakyat dan negeri Selangor.

Titah baginda, wakil rakyat tidak boleh mengunakan kepentingan peribadi sehingga hilang pemikiran yang waras dan timbul perasaan tamak haloba.

"Sukacita beta pada hari yang bersejarah ini mengingatkan kepada ahli-ahli yang berhormat bahawa Negara Malaysia mengamalkan sistem Raja Berpelembagaan dan Berparlimen semenjak Negara mencapai kemerdekaan. Sistem ini telah termaktub…
di dalam Perlembagaan Persekutuan," titah baginda.

Titah baginda, institusi Raja mempunyai kuasa dan peranan yang amat penting dalam mempertahankan kedaulatan, kebesaran dan kemulian Raja-raja, melindungi agama Islam, melindungi bahasa Melayu dan juga melindungi kepentingan kaum-kaum lain.

Asas kepada kewujudan peruntukan yang penting ini adalah hasil dari permuafakatan yang dicapai antara pemimpin tiga kaum terbesar di Negara ini iaitu Melayu, Cina dan India, atas perkenan Raja-raja Melayu.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Santapan Di Raja sempena Sambutan 50 Tahun Dewan Negeri Selangor.

Titahnya lagi, Sistem Raja Berperlembagaan dan Berparlimen juga meletakkan Raja sebagai salah satu Institusi penting di dalam Parlimen dan di Dewan Undangan sesebuah negeri.

"Oleh itu, anggapan sesetengah pihak bahawa Raja adalah sekadar lambang istiadat dan upacara rasmi semata-mata, tanpa sebarang kuasa adalah satu tafsiran yang salah dan perlu dikikis serta diperbetulkan dengan segera," baginda bertitah.

Sultan Selangor melahirkan rasa kesal terhadap beberapa kejadian buruk sejak kebelakangan ini yang memperlihatkan ada di kalangan Ahli-ahli yang berhormat menunjukkan sikap kurang sopan dan tidak beradap kepada Institusi Raja dan kemuliaan Dewan Negeri.

Keadaan itu, titah Baginda boleh mencetuskan keadaan kelam kabut, dan mencerminkan betapa rendahnya moral Ahli-ahli Yang Berhormat.

Dalam pada itu, Baginda turut mengingatkan wakil rakyat supaya menjaga perilaku, kesopanan dan etika pemakaian seperti yang telah ditetapkan dan akur kepada segala peraturan mesyuarat dewan.
"Sikap biadap, tidak sopan dan tuduh menuduh dengan perkataan yang kesat hingga menimbulkan perbalahan yang merugikan tanpa asas yang kukuh seharusnya dihindari pada setiap masa,"

"Hentikanlah segala politik yang tidak mendatangkan faedah kepada rakyat. Sudah sampai masanya semua pihak, terutama Ahli-ahli Yang Berhormat menumpukan perhatian memperjuangkan hak rakyat dan nasib mereka yang memerlukan bantuan dan khidmat dari Ahli-ahli yang Berhormat sekalian," baginda bertitah.

No comments: