Friday, July 3, 2009

Pesta Buku Selangor 2009 bakal dapat sambutan - Exco

Muhammad Arif Ismail
Fri | Jul 03, 09 | 3:22:38 pm MYT

SHAH ALAM, 3 Julai (Hrkh) - Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali menegaskan Sambutan Pesta Buku Negeri Selangor mendapat sambutan yang mengalakkan daripada penduduk negeri ini khasnya. Iklan

Menurutnya, pesta buku ini dianjurkan oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS).

"Sambutan begitu mengalakkan dari rakyat Selangor telah ditunjukkan sejak tahun 2006 dengan seramai 50,000 orang dan pada 2007, 93,000 orang dan 2008 seramai 262,370 orang.

"Makna tiga kali ganda lebih ramai daripada 2007 dan kita sasarkan pengunjung pada tahun ini yang bakal menghadiri Pesta ini di antara seramai 350,000 hingga 400,000 orang dengan 55 penerbit dari seluruh negara.

"Jumlah gerai juga akan meningkat, saya difahamkan tadi semua gerai tersebut telah habis ditempah. Pada tahun ini pihak penganjur telah membuka sebanyak 106 buah gerai," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Pesta Buku Selangor 2009 yang diadakan di Hotel Grand Bluewave, dekat sini semalam.

Hadir sama dalam sidang media itu ialah Pengarah PPAS, Mastura Muhamad dan Pengurus Besar PTS yang juga merangkap Pengerusi Publisiti Pesta ini, Fauzul Naim Ishak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selat Klang itu berkata, pada tahun 2008, hanya 82 buah gerai sahaja dibuka.

"Kita harapkan penganjuran pesta pada tahun ini dapat menarik seramai mungkin pengunjung dan kita minta seluruh rakyat Selangor khasnya kalau boleh seluruh Malaysia bersama-sama memeriahkan pesta ini," katanya.

Tambah beliau yang juga merupakan Pengerusi Lembaga Pengarah PPAS, pesta tersebut akan di Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), di sini, mulai 24 Julai hingga 3 Ogos dari jam 10.00 pagi hingga 9.00 malam.

Sementara itu, dalam sidang media yang sama, Pengarah PPAS, Mastura Muhamad berkata, dalam pesta buku ini juga kita akan adakan pelbagai aktiviti yang akan menarik ramai pengunjung ke pesta ini.

Aktivti tersebut katanya ialah baca cerpen bersama Kavyan, aktiviti bersama PEKOMIK/PEKATUN, Dialog Sasterawan Negara dan persembahan boneka kelip-kelip.

"Kemungkinan kita akan jemput karakter Upin dan Ipin untuk memeriahkan pesta ini. Dalam pesta ini juga kami akan memperkenal maskot baru PPAS," ujar beliau. - mns_

No comments: