Thursday, May 28, 2009

Kerajaan Negeri Selangor Membidas Tindakan PEWARIS

Thursday, 28 May 2009 | Ruangan: Berita
SHAH ALAM, 28 Mei - Tindakan Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) menyelar Dato’ Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai “menyokong budaya perhimpunan haram” dalam Utusan Malaysia (28 Mei 2009, mukasurat 13) hari ini memperlihatkan badan bukan kerajaan itu kurang memahami prinsip asas sistem demokrasi yang diamalkan dalam negara ini.

Tan Sri Abdul Khalid dalam sidang media Isnin lalu menyatakan rasa kesal atas tindakan keras polis yang melampau terhadap perhimpunan aman kebelakangan ini.

Beliau juga menegaskan bahawa perhimpunan secara aman adalah hak asasi setiap warganegara di Malaysia yang termaktub dalam Deklarasi Hak-hak Asasi Sedunia dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Kebebasan untuk bersuara, berhimpun dan berpersatuan merupakan prinsip asas sesebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi supaya rakyat dapat mengambil bahagian dalam proses pembentukan polisi negara.

Oleh itu adalah tidak wajar bagi Pewaris mentafsirkan pendirian tersebut sebagai percubaan “menghasut dan menggalakkan rakyat untuk menyalahi undang-undang”.

Kerajaan Negeri Selangor di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat sentiasa menjunjung kedaulatan undang-undang sebagai landasan keadilan sosial, pentadbiran dan pertahanan demi kesejahteraan masyarakat dan negara.

Namun undang-undang tidak patut disalahgunakan demi kepentingan politik pihak tertentu sehingga masyarakat awam hilang keyakinan terhadap institusi polis. Undang-undang berhubung dengan perhimpunan orang awam wajar dikaji semula supaya selaras dengan prinsip asas Perlembagaan Persekutuan Malaysia

No comments: