Sunday, January 18, 2009

Berita Negeri

Toyota Camry Dibeli Atas Faktor Kos

KUALA SELANGOR, 11 Januari – Dato’ Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini menjelaskan bahawa pembelian 15 buah kereta Toyota Camry untuk kegunaan rasmi kerajaan negeri dibuat berdasarkan sebut harga bukannya menerusi tender terbuka.

Beliau berkata, kerajaan negeri sebelum ini telah pun meneliti semua sebut harga daripada beberapa buah syarikat kenderaan sebelum membuat sebarang keputusan.

“Selepas meneliti semua sebut harga syarikat kenderaan terbabit, kerajaan negeri telah mengambil keputusan untuk membeli Toyota Camry atas faktor kos dan penyenggaraan,”ujarnya yang melihat melihat penggunaan Toyota Camry lebih stabil dan praktikal disebabkan harganya telah ditetapkan kerajaan persekutuan.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Gotong- Royong Serentak Negeri Selangor di Taman Sentosa, Bestari Jaya di sini, pagi tadi.

Mengulas mengenai 15 kereta itu, Abdul Khalid berkata ianya akan diserahkan secara berperingkat-peringkat bagi kegunaan semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan tiga pegawai tinggi kerajaan iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-Undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri.

Menurut beliau, Proton Perdana V6 Eksekutif yang digunakan sebelum ini akan dijual menerusi sistem tender terbuka.

Sementara itu, Abdul Khalid hari ini hadir merasmikan Majlis Gotong- Royong Serentak Negeri Selangor yang diadakan buat pertama kali di seluruh Selangor.

Beliau berkata antara objektif utama gotong royong tersebut adalah untuk menjadikan seluruh negeri ini lebih bersih dan indah selain bebas daripada pelbagai penyakit.

“Kita hendak ingatkan kebersihan itu hanya akan berlaku jika kita anggap kebersihan itu satu amalan bukan hanya setahun sekali kita bersihkan tapi setiap masa.

“Oleh sebab itu salah satu daripada usaha yang kita lakukan ialah galakkan ahli majlis di setiap daerah yang sudah kita tempatkan di kawasan-kawasan mereka untuk menolong, memantau dan bekerjasama dengan penduduk dalam usaha menyelesaikan masalah-masalah kebersihan yang lain selain masalah yang dihadapi masyarakat setempat,” katanya yang turut berharap program itu akan dilakukan daripada semasa ke semasa selepas ini. – MURIZA ABDUL HAMID

No comments: